KUALA LUMPUR, SELASA, 02 Julai, 2013: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diminta bersikap terbuka untuk menyerahkan segala usaha pelan pembangunan sukan tersebut kepada Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat syarikat itu.
Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) berkata, ini kerana FAM dilihat tidak mampu melaksanakan usaha pembangunan bola sepak secara menyeluruh atas alasan kekangan kewangan yang dihadapi badan induk berkenaan.
Katanya, usaha itu dilihat semakin tidak tentu arah apabila kebanyakan kelab dan pasukan bola sepak tempatan kini bergerak secara bersendirian dalam usaha pembangunan masing-masing.
"Dalam dunia ini, Malaysia kini di tempat 163, malu kita. FAM tidak mampu, jadi kalau tak mampu, serahkan jawatan kepada yang mampu supaya kita naik sekurang-kurangnya ke tangga ke-50 macam Jepun dan Korea.
"Jadi cadangan saya supaya Petronas ambil alih supaya Petronas boleh berbelanja dan beli kelab di London agar anak-anak kita boleh pergi London sertai akademi bola sepak. (Jika tidak) saya takut kita jatuh ke tempat yang lagi teruk," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dalam sidang Dewan Rakyat hari ini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment