My Add

Tuesday 9 July 2013

Dipenjara 5 tahun sabit kematian anak angkat tunang

MELAKA, ISNIN, 08 Julai, 2013: Seorang buruh dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku menyebabkan kematian anak angkat tunangnya yang berusia lima tahun pada September tahun lepas.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh memerintahkan Amiezul Al Ikram Mohamed Ikram, 33, menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 21 Feb lepas.

Dia didakwa menyebabkan kematian Noor Sofia Syaqira Abdullah di No 34, Jalan Seri Emas 20, Taman Seri Telok Mas pada kira-kira 4 petang 1 Sept 2012 mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh bertengkar dengan ibu mangsa sehingga menyebabkan dia hilang pertimbangan dan melepaskan geram terhadap si mati.

Tertuduh membawa kanak-kanak malang itu ke bilik lalu memukul serta menamparnya dengan tangan di bahagian kepala dan belakang badan serta membaling botol air mineral yang terkena kepala mangsa.

Noor Sofia Syaqira kemudian dibawa ke Hospital Melaka sehari selepas itu oleh anggota keluarganya namun pemeriksaan mendapati mangsa sudah tiada nadi, tidak bernyawa, tidak bernafas, keras serta anak mata tidak reaktif, dan dia disyaki telah meninggal dunia di rumah.

Mangsa didapati mengalami kecederaan seperti bengkak di bahagian dahi dan lebam di bahagian leher, tangan, kaki serta dada.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian kanak-kanak itu ialah trauma objek tumpul di bahagian kepala dan dada selain kecederaan abdominal dalaman.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Nurul Maisarah Kamal manakala tertuduh diwakili peguam Collin Andrew. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment