My Add

Friday 19 July 2013

DPMPP saran isu TPPA dibahas di Parlimen

GEORGETOWN, JUMAAT, 19 Julai, 2013: Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMPP) menyarankan supaya isi kandungan Perjanjian Kerjasama Trans Pasifik (TPPA) dibahaskan secara terbuka di Parlimen.

Yang Dipertuanya, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader, berkata kerajaan seharusnya mengambil kira pandangan semua pihak sebelum bersetuju mengenai perjanjian baru itu.

"Kerajaan wajar menimbangkan pandangan pelbagai pihak dan meneliti kesemua 29 perkara yang terkandung dalam TPPA seperti aspek alam sekitar, ubat-ubatan dan perolehan kerajaan serta memastikan kerjasama itu tidak menggadai masa depan negara," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Rizal Faris turut menyuarakan kebimbangan berikutan teks perjanjian dan perbincangan mengenainya dibuat secara rahsia dan tidak dibentangkan kepada pengetahuan umum.

Beliau turut menggesa kerajaan memberi keutamaan kepada kepentingan kebangsaan berbanding nilai komersil dan sepatutnya melindungi negara dari ancaman dominasi kuasa asing dalam ekonomi negara.

"Sejarah negara selama ini menunjukkan sistem perdagangan ekonomi terbuka bukan perkara baru dan memberi kesukaran kepada peniaga untuk bersaing.

"Tetapi, ia harus bersikap adil dan memberi kebaikan kepada semua pihak," katanya," katanya.
TPPA adalah satu inisiatif dagangan bebas membabitkan kerjasama 12 negara yang menyasarkan untuk meliberalisasikan ekonomi di rantau Asia Pasifik.

Ia bertujuan meningkatkan dagangan dan pelaburan di kalangan negara ahli, menggalakkan inovasi, pembangunan ekonomi selain menyokong pembentukan serta pengekalan pekerjaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment