My Add

Wednesday 3 July 2013

Elak risiko kanser pangkal rahim

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
 
 * PELAJAR Kolej Antarabangsa IKIP mengisi borang untuk mendapatkan suntikan HPV pada Majlis Pelancaran Program Vaksinasi Human Papillomavirus Peringkat Negeri Pahang di kolej tersebut di Kuantan, semalam.
KUANTAN, SELASA, 02 Julai, 2013: Kira-kira 17.9 daripada 100,000 wanita dalam kalangan usia reproduktif di negara ini berisiko mengalami kanser pangkal rahim setiap tahun.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Siti Norlasiah Ismail berkata, sehubungan itu, sebanyak 2,126 wanita berkemungkinan menghidap penyakit itu setiap tahun dengan kadar kematian adalah 631 orang.

"Menjelang 2025, dijangkakan 3,502 wanita akan terdedah dengan kanser ini dengan jumlah kematian mencecah 1,118 orang.

"Oleh itu, kerajaan telah memperkenalkan program Vaksinasi Human Pappilomavirus (HPV) untuk memastikan risiko dapat dikurangkan dan peratusan penghidapnya serta kematian akibat kanser pangkal rahim dapat dibendung," katanya pada Majlis Pelancaran HPV Peringkat Negeri di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Pemangku Pengarah Bahagian Reproduksi Manusia LPPKN, Dr. Rosliah Harun.

Majlis turut dihadiri Pemangku Pengarah LPPKN negeri, Siti Asmad Zakarni dan Naib Presiden Akademik, Kolej Antarabangsa IKIP, Nor Aishah Hashim.

Katanya, vaksinasi HPV amat penting untuk wanita berusia 18 tahun kerana boleh mencegah mereka daripada serangan kanser pangkal rahim yang merebak akibat virus itu.

"Malah, kanser pangkal rahim juga merupakan ancaman ketiga tertinggi kepada wanita selepas kanser payu dara dan kanser korektoral," katanya.

Dalam pada itu, Dr. Rosliah ketika ditemui selepas majlis itu berkata, bagi tempoh bermula Julai 2012 hingga Jun lalu, seramai 95,000 wanita telah mendapatkan vaksinasi HPV.

"Kita juga sasarkan seramai 200,000 wanita akan menerima vaksin ini sehingga Julai tahun depan. Menjadi harapan kami agar lebih ramai wanita tampil mendapatkan suntikan ini demi kesihatan mereka," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment