My Add

Wednesday 3 July 2013

SPNB bina 50,000 rumah lagi

KUALA LUMPUR, SELASA, 02 Julai, 2013: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) merancang untuk membina 50,000 unit rumah mampu milik di bawah harga RM250,000 di seluruh negara pada tahun ini sebagai memenuhi aku janji kerajaan bagi mewujudkan satu juta rumah untuk rakyat.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr. Kamarul Rashdan Salleh berkata, rancangan yang bakal mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri itu dijangka memakan masa dua hingga tiga tahun untuk siap sepenuhnya.

Katanya, tiga jenis rumah yang akan dibina daripada perancangan tersebut meliputi rumah banglo, rumah berkembar serta rumah teres.

"Kita sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa buah kerajaan negeri, respons yang diterima sangat positif dan dijangka memenuhi permintaan yang tinggi daripada rakyat.

"Jika dilihat ketika ini, pemaju banyak menawarkan rumah berharga RM500,000 ke atas, rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana tidak mampu, SPNB akan memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan yang berkata sebanyak 1.9 juta isi rumah di negara ini masih belum memiliki rumah sendiri berikutan harga pasaran yang terlampau tinggi.

Menurutnya, daripada 6.3 juta jumlah isi rumah di seluruh negara, sebanyak 4.4 juta keluarga telah memiliki rumah sendiri, 1.6 juta masih menyewa serta baki 300,000 mendiami rumah setinggan dan menumpang rumah pusaka.

Tambah Kamarul Rashdan, projek pembinaan tersebut akan memberi tumpuan kepada pembangunan perumahan di kawasan pinggir bandar, hal ini ekoran kesukaran untuk mendapat tanah yang luas di kawasan bandar.

"SPNB akan menggunakan tanah-tanah hak milik kerajaan bagi tujuan berkenaan, kita akan fokus di kawasan subbandar, jika di kawasan bandar kerajaan negeri menghadapi masalah untuk menyediakan tanah untuk dibangunkan.

"Kadar harga bagi rumah ini serendah RM42,000 sehinggalah RM250,000," jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata secara kumulatifnya dari tahun 2003 sehingga kini, SPNB telah merancang untuk membina sebanyak 25,183 rumah mampu milik di seluruh negara yang dijangka siap sepenuhnya pada 2015.

Katanya, sehingga bulan Mei lalu, sebanyak 16,002 rumah berkenaan sudah siap sepenuhnya, 6,409 dalam proses pembinaan dan 2,772 masih dalam perancangan.

"Kos keseluruhan pembinaan bernilai lebih lapan bilion ringgit, SPNB akan menyediakan rumah yang berkualiti terutamanya untuk pembeli rumah pertama selaras dengan Dasar Perumahan Negara," ujarnya lagi. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment