My Add

Wednesday 3 July 2013

Malaysia 10 terbaik tawar pengajian berkualiti

KUALA LUMPUR, SELASA, 02 Julai, 2013: Malaysia kini merupakan antara 10 negara terbaik dunia yang menawarkan pengajian berkualiti di peringkat tinggi kepada masyarakat global mengatasi banyak negara maju lain.

Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, pencapaian membanggakan itu hasil kejayaan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang mula dilancarkan pada 2007.

Menurutnya, selain muncul sebagai hab ilmu, kejayaan meletakkan Malaysia di kedudukan 10 terbaik dunia juga memberi pulangan ekonomi apabila negara meraih RM3 bilion setahun hanya dalam bentuk yuran pengajian.

"Ini adalah satu pelaburan yang strategik dan langkah kerajaan memperkenalkan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara pada 2007 adalah suatu langkah tepat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang mewakili Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh merasmikan Kongres Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Yang turut hadir, Reaktor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamarudin dan Dekan Fakulti Kejuruteraan UIAM, Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Md. Noor Salleh.

Dalam pada itu, Zaini memberitahu, pelan strategik sama juga telah melonjakkan Malaysia mengatasi banyak negara lain antaranya China, Singapura, Switzerland dan Korea Selatan dalam penerbitan jurnal akademik di Journal Citation Reports.

Katanya, ketika pelan itu mula dilancarkan pada 2007, pensyarah dan pengkaji di Malaysia hanya menghasilkan sejumlah 3,711 jurnal akademik tetapi kemudian melonjak sebanyak 310 peratus pada 2012 apabila mencatat 11,507 jurnal.

Perkara sama katanya, berlaku dalam aspek pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) apabila ketika ini lebih 40,000 pelajar sedang mengikutinya di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut kira-kira 40 peratus merupakan pelajar antarabangsa manakala institut pengajian tinggi awam (IPTA) tertinggi menawarkan pengajian peringkat PhD adalah Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sementara itu, Idris yang teks ucapannya dibacakan Zaini berkata, Kementerian Pendidikan kini masih lagi dalam proses penyusunan setelah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi digabungkan.

"Penyusunan sedang berjalan bagi memastikan kita hanya memberi fokus kepada pendidikan berkualiti dan bukan lagi perkara-perkara yang bersifat kosmetik," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment