My Add

Monday 22 July 2013

Ibu tidak sangka jubah raya permintaan terakhir anak bongsu

 * ATHIRAH Amin meratapi mayat adiknya Athafiz Amin, 10, yang mati lemas dalam kejadian di Sungai Melaka berhampiran Taman Seri Krubong di Melaka, semalam. - UTUSAN/GAIE UCHEL
MELAKA, AHAD, 21 Julai, 2013: Seorang ibu tidak menyangka permintaan anak perempuannya berusia 12 tahun yang tidak sabar-sabar untuk membeli jubah sebagai baju raya adalah permintaan terakhirnya sebelum kanak-kanak itu mati lemas bersama tiga rakannya di Sungai Melaka berhampiran Taman Seri Krubong di sini petang ini.

Norizan Zainal, 40, berkata, malah anak bongsu daripada empat beradik itu, Radziatul Nadia Rosnan sanggup tidak mahu ke sekolah esok, semata-mata untuk pergi bersamanya membeli jubah.

"Bagaimanapun saya memujuknya untuk ke sekolah dan berjanji akan membeli jubah sebaik sahaja tamat waktu persekolahan. Tetapi tidak sangka itulah permintaan terakhirnya," katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Norizan, sebelum kejadian Radziatul Nadia keluar bermain bersama anak-anak jirannya kira-kira pukul 3 petang manakala beliau pula keluar membeli mi untuk juadah berbuka puasa.

"Namun sejam selepas itu, saya dimaklumkan anak jiran yang dia (Radziatul Nadia) lemas. Saya ingat dia pergi bermain di taman permainan berhampiran dan langsung tidak menyangka ke sungai sebab sebelum ini dia tak pernah ke sana," katanya.

Norizan berkata, Radziatul Nadia pula tahun ini menunjukkan perubahan ketara apabila amat rajin bertarawih bersama rakan-rakannya.

Dalam kejadian itu, Radziatul Nadia bersama Hanis Balkis Fadzli, 7; Mohamad Nazimi Fadzli, 9; dan Athafiz Amin, 10, mati lemas ketika mereka mencari kepah.

Dalam pada itu, kakak kepada Athafiz, Athirah, 16, berkata, adiknya sempat berpesan kepadanya supaya menghantar pakaian kotor ke kedai dobi pagi tadi.

"Ketika adik saya itu mengejutkan saya daripada tidur, saya dalam keadaan separuh sedar, saya sedih sebab tak dapat bertemu dia lagi.

"Manalah saya sangka itu merupakan pesanan terakhir adik saya itu kerana sebaik sahaja saya pulang bekerja kira-kira pukul 4 petang, saya dimaklumkan bahawa adik saya telah lemas," katanya.

Menurut Athirah, ketika kejadian ibu dan ayahnya sedang berniaga. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment