My Add

Monday 15 July 2013

Endot hanya dibenar buat kenyataan selepas menang


BESUT, AHAD, 14 Julai, 2013: Tidak sebagaimana calon Pas yang lazimnya gemar berceramah dan petah berbicara, Endot@Azlan Yusof (gambar) yang mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Besut bagaimanapun seakan terpaksa menggunakan jurucakap untuk berhadapan dengan pihak media.

Pengurus kempen, Hanafiah Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Cukai memainkan peranan itu sejak hari pertama kempen berlangsung ketika media berkumpul di markas Pas dalam sidang akhbar bersama calon.

Ketika ditemui sekumpulan pengamal media petang semalam, Endot dilihat seakan cuba mengelak daripada menjawab sebarang persoalan yang mula berlegar dengan sikap dan pendirian sebenarnya, lalu menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada Hanafiah sekali lagi.

"Tunggu bagi mene (menang) dulula... tak apa... tak apa... tunggu mene dulu. Lepas tu baharu kita tengok macam mana," kata kontraktor itu yang agak keberatan untuk mengeluarkan sebarang kenyataan setelah terus mendapat sorotan media dengan pemilihannya sebagai calon.

Beliau mengulas tentang videonya yang mula dimuat naik di beberapa laman sosial termasuk YouTube bahawa beliau perlu menumpukan perhatian terhadap perniagaan dan sedia mengupah orang lain menggalas tanggungjawab dalam urusan rakyat jika menang dalam PRK nanti.

Hanafiah yang mencelah kemudian menangkis dengan mendakwa itu hanya dimanipulasi pihak tertentu yang cuba menjatuhkan Pas.

"Benda itu memang dimanipulasi. Mana boleh ambil orang dia (menjadi wakil rakyat). Ada P.A (pembantu peribadi) dia... ada kerani dia... ada orang yang duduk sekitar dia... itu maksud dia sebenarnya.

"Lagipun calon Pas ini orang baharu. Mungkin ada tersalah cakap ke bila orang (wartawan) tanya. Sebab itulah saya harap lepas ni... saya tak suka dia membuat kenyataan... semua kenyataan akhbar mesti datang daripada pengarah pilihan raya (Pas) atau saya sahaja," katanya.

Jelas Hanafiah, Pas hanya akan memberi peluang kepada Endot atau lebih dikenali sebagai Che Long untuk membuat kenyataan sendiri sebaik sahaja memenangi PRK tersebut.

"Kita bukan mengongkong tapi memberikan tunjuk ajar kepada beliau cara-cara untuk menghadapi kerenah media-media di hadapan saya ini. Ini kerenah yang Pas sudah hadapi sejak hampir 60 tahun lalu," katanya.

Menurutnya, Endot akan tetap berkhidmat untuk rakyat sebagaimana yang dijanjikan jika menang dan elaun wakil rakyat akan disalurkan kepada masyarakat melalui satu tabung yang diwujudkan kelak. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment