My Add

Saturday 20 July 2013

Felcra rancang melabur di Sarawak, Kemboja

KUALA PILAH, JUMAAT, 19 Julai, 2013: Felcra Berhad merancang untuk membangunkan beberapa kawasan dan lokasi yang strategik di Sarawak dan Kemboja dengan ladang getah dan kelapa sawit dalam tempoh lima tahun akan datang, sejajar dengan program perkembangan syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ramlee Abu Bakar berkata, Felcra Berhad mengenal pasti kawasan seluas kira-kira 16,000 hektar di Sarawak untuk dibangunkan dengan ladang kelapa sawit.

"Bagaimana pun, perkara ini masih lagi dalam peringkat mendapatkan kelulusan. Insya-Allah, kalau tidak ada apa-apa halangan, dalam masa setahun dua ini, kita akan dapat teruskan pembangunan ladang kelapa sawit di negeri itu," katanya kepada pemberita di Masjid Kariah Kampung Terentang, Batu Kikir dekat sini malam tadi.

Beliau ditemui selepas majlis berbuka puasa anjuran Felcra Berhad bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Selain itu, Ramlee berkata, Felcra Berhad juga akan meneroka ke luar negara dan kini sedang mengkaji kawasan yang difikirkan sesuai untuk dibangunkan dengan tanaman getah, terutama di Kemboja.

"Kita baru cuba melihat tapak (kawasan) yang sesuai untuk dibangunkan dan ia masih di peringkat lawatan tapak untuk mengenal pasti kawasan yang sesuai.

"Di Kemboja, tanaman yang sesuai ialah getah. Kita kenal pasti kawasan seluas kira-kira 10,000 hektar, tetapi masih lagi di peringkat perundingan awal.

"Ia dijangka dapat diteruskan dalam tempoh setahun dua ini selepas menyelesaikan beberapa perkara seperti perundangan..... sama ada terdapat halangan atau tidak untuk kita meneruskan pelaburan di sana.

"Kita akan siasat dahulu, kemungkinan ada atau tidak akan menimbulkan risiko pelaburan dan sebagainya. Kalau 10,000 hentar ini dibangunkan, ianya melibatkan pelabur hampir RM400 juta," katanya.

Sementara itu, katanya, Felcra Berhad turut menceburi bidang pendidikan di mana untuk julung kalinya agensi itu akan mempunyai sebuah kolej di Seberang Perak, Kampung Gajah, Perak. - BERNAMA  

No comments:

Post a Comment