My Add

Saturday 20 July 2013

Gaji pekerja asing perlu berbeza

Oleh azman ibrahim

 * AHMAD Bashah Md. Hanipah (tiga dari kanan), Teh Kee Sin (dua dari kanan) bergambar pada pelancaran Majlis Pengiktirafan Pengusaha Kecil dan Sederhana kali ke-12 di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 19 Julai, 2013: Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia (SMI Malaysia) memohon kerajaan pertimbangkan untuk melonggarkan syarat pemberian gaji minimum terhadap pekerja asing yang baru memasuki ke negara ini dan dalam tempoh percubaan.

Presidennya, Teh Kee Sin berkata, adalah tidak adil apabila pekerja asing yang baru bekerja di negara ini menikmati faedah gaji minimum sama seperti pekerja tempatan.

Katanya, kebanyakan pekerja asing yang baru memasuki negara ini tidak mahir dan perlu melalui tempoh pembelajaran yang panjang.

"Saya mencadangkan supaya setiap pekerja asing yang baru memasuki Malaysia diberi tempoh tiga hingga enam bulan sebelum diberi gaji minimum.

"Dalam tempoh itu, saya memohon supaya pekerja asing baru tersebut diberi gaji 30 peratus lebih rendah daripada gaji minimum seperti yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Majlis Pengiktirafan Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) kali ke-12 di sini hari ini.

Majlis itu telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Pengenalan gaji minimum di negara ini berkuatkuasa 1 Julai lalu.

Tambah Kee Sin, pihaknya memohon pertimbangan kerajaan setelah mendapat maklum balas dari industri, selain mendapat sokongan daripada persatuan-persatuan dan dewan perniagaan di Malaysia.

Katanya, pihaknya berharap lebih ramai rakyat tempatan diambil bekerja selepas pengenalan gaji minimum tersebut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment