My Add

Monday 8 July 2013

Gagasan sebulat suara sokong perjuangan Utusan Malaysia


Add caption* SEBAHAGIAN pelajar dan orang ramai yang hadir mendengar forum khas bertajuk Masa depan bangsa Melayu pasca PRU Ke-13 semasa Persidangan Agung Tahunan Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia kali ketiga di Rumah Wawasan 4, Taman Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, AHAD, 07 Julai, 2013: Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) hari ini meluluskan lapan usul dalam Persidangan Agung Tahunan Kali Ketiganya termasuk sebulat suara menyokong penuh perjuangan akhbar Utusan Malaysia yang mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu dalam setiap laporannya.

Setiausaha Agungnya, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, usul kedua yang diluluskan adalah cadangan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji keberkesanan sekolah satu aliran ke arah merapatkan jurang antara kaum.

Katanya, Gagasan juga mendesak kerajaan mengembalikan penggunaan istilah Bahasa Malaysia kepada Bahasa Melayu sebagaimana Perkara 152 Perlembagaan Malaysia.

Sementara itu, dalam usaha memajukan tahap pendidikan dan kerjaya masyarakat Islam, pertubuhan tersebut mahu kerajaan menubuhkan Yayasan Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia yang dinaungi oleh Majlis Raja-Raja Melayu.

"Antara usul lain termasuk cadangan menubuhkan sekolah tingkatan enam berpusat di setiap daerah ke arah memperkasakan tingkatan enam di seluruh negara.

"Gagasan juga memohon Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengkaji semula dasar Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang telah menamatkan pembiayaan pinjaman kepada pelajar diploma kemahiran dan diploma lanjutan kemahiran atas alasan telah disediakan oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan akhbar selepas Persidangan Agung Tahunan Kali Ketiga Gagasan di sini.

Menurutnya, usul terakhir yang diluluskan adalah supaya Majlis Kerja Tertinggi Gagasan menubuhkan Koperasi Gagasan Berhad. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment