My Add

Monday 8 July 2013

Tiga peserta larian anjuran ntv7 cedera dilanggar kereta



* DUA daripada tiga peserta larian Feel Good Run anjuran ntv7 terlantar kesakitan dan cedera selepas dilanggar lari oleh sebuah Proton Iswara di Bandar Utama, Damansara, semalam.

PETALING JAYA, AHAD, 07 Julai, 2013: Tiga peserta wanita larian Feel Good Run 2013 yang dianjurkan stesen televisyen ntv7 cedera selepas dilanggar sebuah kereta ketika acara itu berlangsung di sebuah kawasan perumahan di Bandar Utama di sini pagi ini.

Difahamkan, tiga peserta wanita itu dilanggar sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna merah sebelum kenderaan itu meninggalkan lokasi kejadian, kira-kira pukul 8 pagi.

Dipercayai, salah seorang daripada wanita itu patah tangan dan dua lagi peserta mengalami cedera ringan.

Peserta yang cedera itu ialah Lee Shiau Foon, 33, Lim Lee Ling, 43, dan Lee Su San, 54. Kesemua mereka dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

Salah seorang peserta yang dikenali sebagai Ain Azwan, 28, memberitahu, kejadian itu berlaku secara tiba-tiba dan dia sempat melihat tiga wanita berkenaan terlantar sakit di atas jalan raya.

"Larian bermula pada pukul 7.30 pagi dan laluan acara itu melalui kawasan perumahan. Ketika itulah datang sebuah kereta yang dipercayai sedang melakukan pusingan U lalu merempuh kumpulan peserta yang sedang berlari.

"Pemandu kereta itu terus memecut laju walaupun beberapa peserta cuba menahan kenderaan tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Ain, ekoran kejadian itu, beberapa peserta meluahkan rasa kecewa tiada polis trafik yang menjaga peserta sepanjang acara itu berlangsung.

"Pada awal acara kami ada nampak polis trafik tetapi selepas itu kami hanya diiringi 'marshall' yang bertugas. Sepatutnya penganjur tahu menjaga keselamatan para peserta bagi mengelakkan kejadian sebegini berlaku," katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supritendan Fadil Masus ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu, hebahan awal untuk mengesan kereta berkenaan yang bernombor pendaftaran WRA 6277 telah pun dikeluarkan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment