My Add

Friday 26 July 2013

Maqasid Syariah jadi junjungan

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Kerajaan akan sentiasa memastikan segala pelaksanaan dalam pentadbiran negara menjunjung Maqasid Syariah sebagaimana terkandung di dalam al-Quran untuk memandu Malaysia ke arah kejayaan, kemajuan dan kemakmuran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini kerana kemajuan yang didorong al-Quran adalah seimbang, holistik serta adil kepada semua tanpa mengira kaum, bahasa dan agama kerana kitab suci itu merupakan pedoman yang cahayanya tidak akan padam.

Beliau yang turut memetik firman Allah mengenai keagungan kitab suci itu menerusi surah al-Israa', ayat sembilan, menyeru kepada semua umat Islam di negara ini agar dapat mengambil al-Quran sebagai landasan kepada islah diri, ummah dan negara.

"Marilah kita berusaha dengan sebaik mungkin dalam menterjemahkan pedoman al- Quran kepada program-program transformasi yang akan melonjakkan martabat ummah di persada dunia," katanya dalam perutusan Nuzul al-Quran di blog 1malaysia.com. my, hari ini.

Mengenai Nuzul al-Quran, Perdana Menteri berkata, seluruh umat Islam sangat bertuah kerana sekali lagi dapat bertemu bulan Ramadan yang penuh dengan kerahmatan dan keberkatan di mana di bulan mulai itulah diturunkan al-Quran untuk menjadi panduan umat.

Katanya, peristiwa Nuzul al-Quran merupakan rahmat abadi yang dikurniakan buat umat kerana kitab suci tersebut tersebut sentiasa menjadi pembimbing yang tidak pernah jemu-jemu membawa umat manusia menuju kehidupan mulia di dunia mahupun di akhirat.

"Saya berdoa dengan keberkatan Nuzul al-Quran di bulan Ramadan yang mulia ini, Allah sentiasa menyatukan hati kita semua dengan suntikan semangat motivasi untuk menjaga agama serta negara dan mudah-mudahan segala amalan kita diterima oleh Allah," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment