My Add

Monday 22 July 2013

Gerbang Pelancongan Antarabangsa

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB dan AMARUDIN HAMZAH
 
 * ILUSTRASI artis mengenai wajah pembangunan muara Kuala Besut pada masa hadapan dengan siapnya Projek Pemulihan Muara Sungai Besut kelak.
BESUT, AHAD, 21 Julai, 2013: Pelaksanaan projek pemuliharaan muara Sungai Besut yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam melibatkan kos besar, namun dilihat menjanjikan masa depan yang cukup hebat bagi Kuala Besut.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh (gambar) berkata, seiring dengan perkembangan industri perikanan, usaha itu bakal membuka peluang menjadikan kawasan tersebut sebagai gerbang pelancongan antarabangsa dengan tarikan pelaburan yang dijangka mampu mencecah berbilion ringgit kelak.

Katanya, projek itu mampu memberi nilai baharu kepada Kuala Besut terutama dalam sektor pelancongan dengan kedudukan sebagai pintu masuk ke Pulau Perhentian, salah sebuah pulau dalam kelompok tercantik di dunia.

Malah menurut beliau, selain pulau itu, daerah ini mempunyai jaluran pantai indah, air terjun, kolam air panas, gunung dan rimba yang menyatukan tarikan kepada pelancong.

"Pelaburan itu dianggap setimpal kerana bukan sahaja mengakhiri masalah berulang dihadapi nelayan dan pengusaha bot pelancong sejak beberapa dekad lalu, apabila muara kembali cetek.

"Pada asanya ia bagi memberi keselesaan kepada nelayan dan kemudahan ke Pulau Perhentian, namun bakal membuka pelbagai peluang yang dapat merancakkan perkembangan ekonomi setempat yang cukup hebat kepada rakyat," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri ketika mengumumkan pelaksanaan projek bernilai RM250 juta itu semalam berkata, peruntukan bagi menyelesaikan permasalahan yang masih berlarutan ini membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membantu meningkatkan kesejahteraan setiap kelompok masyarakat.

Ini melibatkan projek mendalamkan muara sungai di samping penambakan dan pembinaan benteng pemecah ombak sepanjang satu kilometer yang dijangka siap dalam tempoh 24 hingga 30 bulan.

Menurut Idris, keputusan itu juga bakal melonjakkan nama Kuala Besut di peta dunia dengan 'kuala baharu' yang mencetus pelbagai potensi pembangunan di kawasan yang tersusun dan mampu menarik pelaburan besar.

Katanya, proses tebus guna tanah juga akan dilakukan bagi menyediakan infrastruktur yang lebih tersusun dan membawa keuntungan kepada penduduk Kuala Besut selain memberikan imej serta kehidupan yang lebih sejahtera.

"Pembinaan resort, marina, kawasan komersial serta perumahan bakal menghiasi kawasan tanah yang ditebus guna itu yang dijangka berkeluasan ratusan hektar di kiri dan kanan kuala baru itu nanti," ujarnya.

Beliau menarik perhatian, calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman yang sebelum ini pernah bertugas sebagai jurutera di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut turut merangka projek mendalamkan muara dan benteng pemecah ombak itu. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment