My Add

Monday 22 July 2013

Pengharaman shisha bakal diwartakan

KUALA LUMPUR, AHAD, 21 Julai, 2013: Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang mengharamkan shisha akan dipanjangkan ke negeri-negeri untuk diwartakan sebagai undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sebarang bentuk tindakan penguatkuasaan akan ditentukan dan dilaksanakan oleh pihak berkuasa agama Islam di negeri-negeri.

Menurut beliau, perkara itu mengikut kehendak Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan pihak berkuasa agama Islam negeri mempunyai kuasa untuk melaksanakan hal ehwal pentadbiran agama Islam.

"Sebagai contoh, sekiranya kesalahan yang melanggar hukum syarak dilakukan di Kuala Lumpur, maka Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan.

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan kecuali berkaitan pematuhan pengiklanan halal di bawah Akta Perihal Dagangan 2011," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jamil Khir mengulas keputusan muzakarah khas itu kelmarin yang melarang umat Islam menghisap shisha atau menyediakan perkhidmatan tersebut serta sebarang aktiviti berkaitan dengannya.

Beliau menambah, umat Islam di negara ini wajib mematuhi keputusan tersebut dengan serta-merta tanpa perlu menunggu undang-undang diwartakan.

"Keputusan itu juga dibuat dengan mengambil kira pandangan pakar dari Kementerian Kesihatan tentang kemudaratan menghisap shisha," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment