My Add

Sunday 7 July 2013

PDRM nak tambah anggota

Oleh ASHLEY ANGGAT

LIMBANG, SABTU, 06 Julai, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merancang menambah bilangan anggotanya yang bertugas di kawasan sempadan Sarawak dan Indonesia bagi memperketat dan memerangi kegiatan jenayah khususnya yang melibatkan penyeludupan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, cadangan untuk menambah bilangan anggota itu telah dikemukakan kepada kerajaan Pusat.

Beliau berkata, penambahan bilangan anggota bertugas di kawasan sempadan negeri ini adalah usaha PDRM dalam meningkatkan tahap keselamatan rakyat sekali gus membanteras aktiviti jenayah yang merentasi dua negara.

"Orang ramai pula dinasihat agar memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi menangani dan menyelesaikan sebarang masalah dan jenayah," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Beliau ditemui dalam Majlis Perasmian Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Yang hadir sama isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Norkiah Abdullah; Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Acryll Sani Abdullah Sani dan Timbalan Pesuruhjaya negeri, Datuk Law Hong Soon.

Bangunan IPD Limbang itu mula dibina pada April 2009 dengan keluasan 2.96 hektar dan diduduki secara berperingkat pada Julai 2011 dan beroperasi sepenuhnya pada 12 Mac 2012.

Pejabat baharu yang bernilai RM56.2 juta itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti pejabat pentadbiran, stor barang kes dan stor senjata yang mampu memberi keselesaan kepada 234 anggota termasuk pegawai awam.

Mengulas lanjut Mohd. Bakri berkata, sebanyak 12 projek dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM941 juta telah dilaksanakan di negeri ini termasuk pembinaan IPD Limbang.

Dalam pada itu, katanya, bagi memantapkan lagi gerak kerja pasukan keselamatan itu, Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPJ) telah ditubuhkan pada 16 Jun lalu bagi memerangi jenayah di negara ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment