My Add

Sunday 14 July 2013

Harga ayam, ikan di Terengganu naik

KUALA TERENGGANU, AHAD, 14 Julai, 013: Harga ayam dan ikan di negeri ini didapati meningkat pada minggu pertama Ramadan.

Tinjauan Bernama di Pasar Besar Kedai Payang di sini mendapati harga ayam proses standard ialah antara RM8.80 hingga RM9 sekilogram manakala harga ayam bakar dan ayam golek di Bazar Ramadan mencecah RM25 seekor.

Pada Ramadan tahun lepas, harga ayam proses standard hanya RM8 sekilogram manakala harga ayam bakar dan ayam golek antara RM20 hingga RM23 seekor.

Bagi suri rumah,Izwani Mohamad, 39, beliau terpaksa juga membeli ayam walaupun harganya mahal kerana tiga anaknya sangat suka menu berasaskan ayam.

"Cuma, kalau nak murah, saya kena beli banyak lah contohnya macam hari ni beli lima ekor untuk dibuat stok seminggu, dapatlah diskaun sedikit dari peniaga yang kita dah biasa beli," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Peniaga ayam, Mohd Robby Awang, 32, berkata, kenaikan harga ayam kali ini adalah paling tinggi sepanjang 10 tahun dia berniaga di pasar ini.

"Sebelum ni paling mahal pun dalam RM8.50 sahaja tapi kami pun dapat harga yang mahal dari pembekal, jadi terpaksa jual harga RM8.80 sekilogram," katanya yang menjual kira-kira 80 ekor ayam setiap hari.

Seorang lagi peniaga ayam, Mohamad Ali, 62, berkata perniagaannya agak terjejas ketika harga ayam semakin naik sekarang.

"Dulu kalau saya jual 80 ekor ayam, semuanya habis sebelum pukul 12 tengah hari tapi sekarang tak sampai separuh pun yang laku.

"Saya ada juga dengar khabar angin harga akan naik RM10 menjelang Syawal ini cuma berharap pihak berkuasa akan memantaunya supaya pengguna dan penjual, sama-sama puas hati," katanya.

Peniaga ikan, Mazlan Awang berkata, harga ikan tenggiri adalah RM35 sekilogram berbanding RM30 pada hari-hari biasa, namun beliau tetap mendapat tempahan ikan itu dari restoran dan kedai makan.

"Ikan selayang sekarang ini RM10 sekilogram berbanding RM8 sebelum ini, ikan kembung RM15 berbanding RM12 sebelum ini manakala sotong berharga RM22 sekilogram berbanding RM20 sebelum ini.

"Harga ikan tongkol dijangka meningkat RM14 sekilogram menjelang Syawal kerana permintaan tinggi untuk dibuat gulai nasi dagang, tambahan pula tidak ramai nelayan turun ke laut ketika itu," katanya.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dijangka melaksanakan harga siling barangan keperluan termasuk ayam sempena sambutan Aidilfitri pada penghujung Ramadan iaitu awal Ogos. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment