My Add

Thursday 25 July 2013

Henti keganasan terhadap wanita

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH

PUTRAJAYA, RABU, 24 Julai, 2013: Anggota Mesyuarat Suruhanjaya ASEAN Untuk Penggalakan dan Perlindungan Hak Wanita dan Kanak-Kanak (ACWC) Ketujuh mencapai kata sepakat mempergiatkan kempen kesedaran bagi menghentikan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak di setiap negara anggota.

Pengerusi ACWC, Datin Paduka Intan Mohd. Kassim berkata, usaha tersebut perlu dilakukan memandangkan tahap kesedaran terhadap jenayah itu masih rendah dalam kalangan penduduk negara ASEAN.

"Antara keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak yang kita cuba tangani ialah berkenaan isu pornografi dan buli.

"Selain itu, perkongsian bersama negara anggota juga akan dilakukan supaya setiap negara dapat bertukar-tukar maklumat mengenai kaedah terbaik menangani keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan bersama wakil negara-negara ASEAN lain iaitu Indonesia, Kemboja, Thailand, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura dan Vietnam ke Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Seri Noorul Ainur Mohd. Nur.

Menurut Intan, menerusi pendekatan tersebut pihaknya berharap semua anggota masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat turut serta memainkan peranan masing-masing bagi menangani isu itu.

Dalam pada itu, Intan berkata, satu deklarasi mengenai membanteras keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak akan dibentangkan pada Sidang Kemuncak ASEAN 2013 di Brunei Oktober ini.

Katanya, draf terakhir deklarasi itu diputuskan dalam mesyuarat yang berlangsung selama tiga hari bermula Isnin lalu dengan menyentuh pelbagai aspek berkaitan membanteras keganasan terhadap wanita dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat.

"Deklarasi ini diharap dapat ditandatangani oleh ketua kerajaan masing-masing pada Oktober ini kerana deklarasi pada 2004 tidak menyentuh mengenai hak kanak-kanak tetapi deklarasi kali ini melibatkan wanita dan kanak-kanak.

"Pada masa sama, kita berharap menerusi deklarasi ini perlindungan yang lebih berkesan dapat diberikan terhadap kedua-dua golongan ini di samping mendapatkan sumber bantuan daripada negara anggota," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment