My Add

Tuesday 9 July 2013

Sokong import ayam - Hasan

Oleh THOMAS CHONG

PUTRAJAYA, ISNIN, 08 Julai, 2013: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyokong usaha import ayam dari luar negara sekiranya kenaikan harga yang berlaku adalah disebabkan alasan yang tidak munasabah.

Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, bahagian penguatkuasa kementeriannya akan menyiasat sama ada kenaikan harga ayam seperti di Kedah adalah disengajakan atau disebabkan peningkatan kos.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat mengenai kenaikan harga ayam manakala perubahan harga haiwan ternakan itu sedang dipantau secara rapi.

"Harga ayam sudah naik, mereka (pembekal) akan memberitahu bahawa kos ternak telah meningkat atau dakwa macam-macam lagi.

"Kalau mereka berbohong, kita akan ambil tindakan. Kalau keadaan kenaikan harga berlanjutan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan import dari luar negara," katanya kepada pemberita selepas menemui wakil industri di sini hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, memberitahu bahawa kerajaan telah membuka permit ayam bulat dari Thailand, Eropah dan Australia bagi menampung permintaan menjelang musim perayaan Aidilfitri.

Kementerian tersebut turut dilaporkan akan berbincang dengan KPDNKK yang berperanan mengawal harga ayam untuk menyelesaikan masalah mengenai bekalan ayam negara ini.

Mengulas lanjut, Hasan berkata, beliau secara peribadi tidak ingin melihat ayam diimport dari luar negara tetapi langkah drastik perlu diambil untuk memastikan kebajikan pengguna terpelihara.

"Kita tidak mahu menyusahkan penternak tempatan. Tetapi kalau mereka tidak mahu ikut nasihat, kita akan ambil tindakan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hasan berkata, sebanyak 21 barang makanan dijangka akan disenaraikan sebagai barang kawalan sempena dengan perayaan Aidilfitri akan datang.

"Saya yakin dengan persiapan yang dilakukan, kita akan dapat mengawal keadaan dan mudah-mudahan tidak berlaku kenaikan harga menjelang perayaan Aidilfitri," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment