My Add

Friday 5 July 2013

Hutang isi rumah dikekang

Oleh Baharom Mahusin

LONDON, KHAMIS, 04 Julai, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membayangkan kerajaan akan mengambil langkah tegas untuk mengekang hutang isi rumah di Malaysia yang kini berada pada paras 82 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau memberitahu akhbar The Financial Times dalam satu interviu di sini bahawa paras hutang isi rumah itu adalah tidak dapat dipertahankan dan menimbulkan satu budaya yang tidak baik kepada ekonomi.

Dalam wawancara itu yang disiarkan oleh akhbar berkenaan hari ini, Najib dipetik sebagai berkata:

“Orang ramai meminjam untuk berbelanja tanpa memikirkan akibatnya.

“Penjawat awam meminjam untuk membeli tanpa memikirkan akibatnya dan mereka kehairanan apabila tidak cukup duit pada hujung bulan."

The Financial Times juga melaporkan Najib sebagai berkata bahawa subsidi perlu dikurangkan untuk menurunkan perbelanjaan kerajaan dan beliau percaya “kita perlu memperkenalkan (cukai perkhidmatan dan barangan) bagi meningkatkan perolehan kerajaan".

Dalam wawancara itu, Perdana Menteri melahirkan keyakinan Malaysia akan mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 dengan para pelaburnya mengembangkan jangkauan korporatnya keluar dari Asia.

Merujuk kepada pelaburan aktif Malaysia dalam sektor hartanah di London yang pada tahun lalu sahaja bernilai 1.4 bilion pound sterling (RM7 bilion), beliau berkata: “Kami suka London, kami mengenali dan memahaminya, dan anda boleh dapat pulangan yang baik daripada pelaburan hartanah di London."

Najib bersama Perdana Menteri United Kingdom, David Cameron merasmikan upacara pecah tanah projek pembangunan semula Stesen Janakuasa Battersea di selatan London hari ini.

Konsortium tiga buah syarikat dari Malaysia terlibat memajukan kawasan seluas 39 ekar itu yang bakal membina 3,500 buah rumah, kedai dan pejabat serta menawarkan peluang pekerjaan kepada 12,000 orang apabila projek pembangunan itu siap sepenuhnya nanti.

Mengenai penglibatan institusi pelaburan kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam projek hartanah di London, Najib memberitahu, dana pencen Malaysia itu mempunyai banyak tunai dan perlu membawa lebihan itu untuk pelaburan yang menguntungkan di seberang laut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment