My Add

Friday 5 July 2013

KDN kesan pemilik kad UNCHR palsu

PUTRAJAYA, KHAMIS, 04 Julai, 2013: Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNCHR) dalam mengesan pemilik kad UNCHR palsu di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, gejala pemalsuan kad UNCHR dikesan semakin berleluasa dan pihaknya memandang serius perkara tersebut memandangkan kemudahan yang diberikan kerajaan dieksploitasikan.

Beliau berkata, jika pemegang kad UNCHR palsu berjaya dikesan kerajaan akan berhubung dengan negara asal masing-masing bagi membincangkan bentuk tindakan selanjutnya yang perlu diambil termasuk menghantar mereka pulang.

"Terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menawarkan Kad UNCHR palsu kepada warga asing, jadi kita akan membanteras masalah ini daripada terus berleluasa.

"Buat masa ini, kita tidak mempunyai jumlah sebenar kad UNCHR yang dipalsukan, kementerian juga akan memperhebat penguatkuasaan untuk mengesan pemilik kad UNCHR palsu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid menerima kunjungan hormat Wakil UNHCR di Malaysia, Paul Alan Vernon di kementeriannya. - UTUSAN

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abd. Rahim Mohd. Radzi; Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad.

Menurut Ahmad Zahid, antara perkara lain yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut ialah mengenai aspek layanan kerajaan kepada mereka yang diberikan kad UNCHR secara sah sebagai tanda pengenalan diri di negara ini.

"Bagi pemegang kad UNCHR yang berhasrat menjadi pekerja asing di negara ini, mereka perlu menjalani latihan sama ada mahir atau separa mahir.

"Kementerian dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia juga akan menubuhkan sebuah pusat latihan khusus untuk pekerja asing bagi membolehkan golongan ini menerima latihan termasuk daripada segi sosiobudaya dan undang-undang di Malaysia," katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan juga memutuskan setiap anak kepada pemilik kad UNCHR tidak secara automatik menjadi warganegara.

"Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kementerian akan mencari mekanisme lain bagi memutuskan kedudukan pemegang kad UNCHR selepas mereka melepasi had tempoh berada di negara ini atau selepas mereka tamat dalam perkhidmatan di sektor-sektor tertentu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment