My Add

Wednesday 24 July 2013

Imigresen buru 400,000 PATI

Oleh ASSIM HASSAN

 Alias Ahmad
KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Julai, 2013: Hampir 400,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang kebanyakannya bekerja di sektor perkhidmatan, pembinaan dan peladangan akan diburu habis-habisan dalam operasi berskala besar Jabatan Imigresen selepas sambutan perayaan Aidilfitri ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Alias Ahmad berkata, tumpuan akan diberikan kepada negeri-negeri hotspot seperti Kuala Lumpur, Selangor serta Pulau Pinang bagi sektor perkhidmatan dan pembinaan.

Selain itu, menurutnya, tumpuan turut diberikan di negeri-negeri seperti Johor, Pahang dan Perak bagi sektor peladangan.

"Hasil maklumat dan risikan, permintaan tinggi dalam tiga sektor itu menyebabkan jumlah PATI di negara ini terus meningkat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Jabatan Imigresen akan melancarkan operasi memburu PATI secara besar-besaran termasuk memberi tumpuan bukan hanya di laluan 'tikus' tetapi di tempat kerja seperti pusat hiburan, restoran, ladang dan kilang haram seluruh negara.

Menurut Ahmad Zahid, pihaknya akan melaksanakan operasi itu secara bersepadu dan berterusan bersama-sama dengan agensi penguatkuasaan lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Menurutnya, jalinan kerjasama sedemikian perlu bagi memastikan operasi mengesan PATI itu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

Tambah Alias, bagi sektor perkilangan, jumlah PATI dilihat sedikit ekoran sikap pengurusan kilang yang mematuhi peraturan yang ditetapkan pihaknya.

Beliau memberi jaminan, operasi pintu ke pintu, kilang ke kilang dan rumah ke rumah akan dilakukan berdasarkan maklumat yang betul supaya usaha membanteras PATI dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang menyalahi undang-undang menggaji PATI di negara ini.

Katanya, setiap majikan yang didapati menggaji PATI berkemungkinan berdepan hukuman di bawah Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (ATIP) yang boleh dikenakan hukuman maksimum 20 tahun penjara.

Menurut beliau, pihaknya akan menyiasat sama ada majikan itu mempunyai elemen dan bukti atas kesalahan ATIP.

"Sebelum ini kita menyiasat majikan yang menggaji PATI mengikut Akta Imigresen.

"Namun, dalam operasi besar-besaran ini, kita akan lihat kemungkinan wujud eksploitasi dalam kalangan pekerja asing tidak sah hingga boleh menyiasat majikan terbabit di bawah Akta ATIP," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment