My Add

Monday 8 July 2013

Isu Kuin: IHSB jauh menyimpang - Mukhriz


 * MUKHRIZ Tun Dr. Mahathir merasmikan Majlis Pecah Tanah Kolej Poly-Tech MARA di Alor Setar, Kedah, semalam.
ALOR SETAR, AHAD, 07 Julai, 2013: Hasil siasatan awal mendapati wujud kepincangan dalam urus tadbir Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang memerlukan kepada penilaian semula terhadap keberkesanan dan daya maju anak syarikatnya iaitu Insaniah Holdings Sdn. Bhd. (IHSB).

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, ini kerana operasi IHSB seolah-olah bebas daripada pengawasan kolej universiti berkenaan hingga jauh menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya.

"Penilaian semula ini bertujuan menyelaras dan memperkemaskan pengurusan serta pentadbiran Kuin. Langkah ini diambil setelah penilaian awal mendapati beberapa entiti anak syarikat menanggung kerugian dan terpaksa bergantung kepada sumber dana Kuin yang disalurkan oleh kerajaan negeri.

"Suntikan bantuan ini mencecah jutaan ringgit yang seharusnya boleh digunakan untuk kegunaan rakyat secara keseluruhan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis pecah tanah kampus baharu Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Alor Setar, di sini hari ini.

Pembinaan kampus baharu yang terletak di Jalan Suka Menanti itu dijangka mampu memuatkan seramai 3,500 pelajar pada satu-satu masa apabila siap sepenuhnya pada pertengahan 2015.

Yang hadir sama, Pengerusi KPTM, Mohd. Aziz Jamman dan bekas Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan.

Mukhriz berkata, kerajaan negeri sedang menimbangkan beberapa opsyen antaranya menyusun semula struktur akademik Kuin yang turut melibatkan Kuliah Perubatan.

Menurut beliau, selain meneliti daya maju kuliah-kuliah Kuin, langkah juga sedang diambil untuk mengenal pasti sama ada lulusan jurusan perubatan institusi pengajian tinggi itu diiktiraf oleh badan-badan profesional.

Menteri Besar bagaimanapun memberi jaminan sebarang keputusan yang ditetapkan akan sentiasa mengutamakan kebajikan, kepentingan dan masa depan pelajar.

"Kerajaan negeri memberikan sepenuh perhatian untuk menyelesaikan masalah dan kelemahan Kuin supaya dapat bergerak lancar dan menjadi sebuah institusi pengajian tinggi terkemuka selaras aku janji Barisan Nasional (BN)," katanya.

Ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri bagi mengatasi kepincangan urus tadbir Kuin, Mukhriz berkata, sudah berlaku sedikit perubahan khususnya di peringkat tertinggi dengan tujuan kerajaan negeri dapat mengambil alih pengurusan kolej universiti itu sendiri.

Katanya, ia juga bagi membolehkan kerja-kerja audit termasuk audit forensik dijalankan supaya memahami apa sebenarnya yang sedang berlaku susulan pelbagai rungutan dan aduan diterima BN sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 melibatkan situasi institusi pengajian milik penuh kerajaan negeri itu.

"Saya akui isu ini begitu rumit kerana pendekatan yang diambil sebelum ini nampaknya langsung tidak menepati proses yang sepatutnya wujud dan diamalkan oleh sebuah institusi pengajian tinggi yang diamanahkan oleh rakyat," katanya.

Mengenai kebimbangan 23 penuntut Kuliah Perubatan Kuin yang dikendalikan oleh IHSB mengenai nasib mereka, Mukhriz meminta kumpulan berkenaan jangan khuatir dan bersabar sementara menunggu kerajaan negeri mencari satu pendekatan dalam tempoh terdekat yang akan menyenangkan mereka. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment