My Add

Monday 8 July 2013

Kembara Queen Street tiba di Rembau hari ini

REMBAU, AHAD, 07 Julai, 2013: Konvoi Kembara Queen Street (KQS) yang disertai kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad dijangka tiba di negeri ini pada pukul 2 petang esok dan disambut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zaifulbahri Idris.

Majlis makan tengah hari bagi meraikan peserta konvoi itu akan diadakan di hadapan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong di sini sebagai mengiktiraf usaha yang dilakukan oleh kakitangan syarikat penerbitan ini.

Zaifulbahri yang juga ADUN Chembong berkata, usaha yang dilakukan itu amat simbolik terutama menjejaki sejarah penubuhan akhbar Utusan Melayu yang sudah banyak berjasa dalam sejarah kemerdekaan negara.

''Kita berbangga dan mengucapkan syabas kepada Utusan Melayu (M) Berhad di atas sambutan ulang tahun ke-75 dan bagi pihak kerajaan negeri, saya amat mengalu-alukan kehadiran peserta konvoi," katanya di sini hari ini.

Peserta konvoi yang diketuai Penolong Ketua Pengarang 1 Utusan, Datuk Zaini Hassan melibatkan 28 motosikal berkuasa tinggi serta empat buah kenderaan bersama bantuan lapan pengiring daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada di Queen Street, Singapura, Johor dan Melaka sebelum tiba di sini, esok.

Konvoi dijangka dilepaskan oleh Zaifulbahri sekitar pukul 4 petang dengan dibantu empat anggota polis dari Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri untuk memasuki pekan Rembau sebelum melalui Jalan Rembau-Seremban dan menuju kawasan Taman Tuanku Ja'afar (TTJ).

Peserta kemudian memasuki Persiaran Senawang. Tiba di persimpangan Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) dekat Paroi menuju ke Ampangan mereka akan mengelilingi bandar Seremban sebelum melalui Jalan Gala-Mantin sehingga ke Kampung Gebok, Pajam dan Kawasan Perindustrian Nilai.

Peserta konvoi akan berlepas ke Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di Kuala Lumpur dengan memasuki Tol Nilai ke Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment