My Add

Monday 22 July 2013

Jangan 'main' hukum haram

Oleh AQILAH MIOR KAMARULBAID

KUALA LUMPUR, AHAD, 21 Julai, 2013: Umat Islam terutamanya golongan belia di negara ini diminta tidak 'bermain' dengan hukum yang dikeluarkan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia berhubung pengharaman shisha.

Menurut Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, keputusan itu wajar diambil setelah meneliti serta terbukti amalan menghisap shisha bukan sahaja membuang masa tetapi memudaratkan kesihatan terutama bagi golongan belia dan remaja.

Jelasnya, golongan belia Islam perlu menghormati hukum haram yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Jangan bermain-main dengan hukum. Keputusan itu bukan dibuat saja-saja, malah mengambil kira aspek kesihatan, syariah dan sebagainya. Jadi, apabila difatwakan haram, maka haramlah dan tidak perlu dipersoalkan lagi," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berhubung keputusan pengharaman shisha.

Menurut Abdul Shukor, keputusan tersebut diambil setelah mendengar pembentangan dan penjelasan pakar-pakar daripada Kementerian Kesihatan termasuk meneliti maklumat serta bukti perubatan tentang kemudaratan akibat shisha.

Mohamed Maliki berkata, pihak berkuasa disaran meningkatkan penguatkuasaan dalam usaha membendung gejala kurang sihat yang kian sebati dengan gaya hidup remaja masa kini.

"Pihak berkuasa agama setiap negeri juga harus memberikan tindak balas yang sama dan tidak mempertikaikan keputusan tersebut sehingga wujudnya masalah pertindihan di pihak penguatkuasaan," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Ezaruddin Abd. Rahman berkata, fatwa tersebut mampu memberi kesedaran kepada masyarakat untuk berhenti menghisap shisha.

"Pengharaman tersebut sekali gus memberikan kesan psikologi kepada golongan muda terutamanya untuk berhenti mengambil shisha yang boleh memudaratkan kesihatan," jelasnya.

Namun begitu, katanya, pihak berwajib perlu memastikan tiada diskriminasi kepada mana-mana premis untuk menjual shisha ekoran penjualannya memberikan kesan kepada ekonomi peniaga.

"Jika semua kedai Melayu diharamkan, saya berharap mana-mana premis atau restoran Arab yang beroperasi di negara ini turut haramkan penjualannya," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment