My Add

Monday 22 July 2013

Marino diminta pulang ke Vatican atau hadapi desakan diusir

KUALA LUMPUR, AHAD, 21 Julai, 2013: Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino diminta pulang ke negaranya secara sukarela atau berhadapan dengan desakan pelbagai pihak supaya kerajaan mengusirnya keluar dari negara ini ekoran tindakannya mencampuri urusan dalaman Malaysia.

Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia, Datuk Nakhaei Ahmad berkata, desakan supaya Marino meletak jawatan bukan langkah tepat, sebaliknya duta itu wajar dihalau keluar dari negara ini kerana telah menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia.

"Dia sebagai duta, buat apa dia hendak letak jawatan. Lebih baik kita halau dia keluar. Minta dia balik ke negara asal kerana tugas seorang duta di sesebuah negara adalah untuk mengeratkan hubungan dua hala, sekarang berlaku sebaliknya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nakhaei mengulas desakan Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali agar Marino meletak jawatan secara sukarela supaya dapat diganti dengan individu lebih bertanggungjawab dan tidak akan sesekali mencampuri urusan dalaman negara.

Menurut Hasan, gesaan itu adalah sebagai bantahan kepada kenyataan dangkal Marino dalam satu wawancara dengan portal media tempatan baru-baru ini yang menyatakan sokongan beliau terhadap pendirian gereja Katholik di Malaysia tentang isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini.

Nakhaei berkata, Marino sebenarnya telah melanggar etika sebagai seorang duta apabila mencampuri urusan dalaman di Malaysia.

"Dia tidak layak untuk berbuat demikian. Kalau dia campur tangan, maknanya negeri dia campur tangan dalam urusan kita. Jadi adalah lebih baik kita minta dia keluar dari negara ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Dr. Yusri Mohamad berkata, Marino bukan sahaja perlu menarik balik kenyataan yang dibuat itu, malah menimbangkan secara serius untuk mengundurkan diri daripada terus berperanan sebagai Duta Vatican City ke Malaysia.

"Walaupun beliau telah mengeluarkan kenyataan memohon maaf melalui Wisma Putra tetapi kita mendapati Marino tidak pula menarik balik kenyataan awal yang melampau itu.

"Selain bercanggah dengan Perkara 41 Konvensyen Vienna Tentang Hubungan Diplomatik 1961 yang melarang seorang diplomat mencampuri urusan dalam negara, kenyataan tersebut juga menunjukkan sikap yang sangat tidak sensitif dan kejahilan beliau tentang kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta perasaan umat Islam di Malaysia," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment