My Add

Saturday 27 July 2013

Jangan percaya khabar angin serangan pengganas

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 26 Julai, 2013: Orang ramai khususnya rakyat Sabah diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan penyebaran khabar angin bahawa negeri itu kini diancam gelombang kedua serangan kumpulan pengganas Kiram.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, selepas serangan kumpulan pengganas itu berjaya dipatahkan pasukan keselamatan negara sebelum ini, Sabah kini berada dalam keadaan selamat dan stabil.

Katanya, kestabilan itu ditambah dengan faktor kesiapsiagaan pihak keselamatan Malaysia yang bertugas di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam menghadapi sebarang kemungkinan dan risiko ancaman.

"Dengan kerjasama, muafakat, koordinasi Kerajaan Pusat dan negeri serta jabatan dan agensi berkaitan, isu keselamatan memang menjadi keutamaan kita. Apa yang penting, jangan cepat terpengaruh atau menyebarkan berita-berita yang tidak sahih berkaitan keadaan keselamatan di Sabah," katanya.

Beliau berucap di hadapan kira-kira 800 penuntut Sabah yang melanjutkan pelajaran di institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Semenanjung, dalam satu majlis berbuka puasa anjuran Yayasan Sabah, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Pengarah Yayasan Sabah yang baharu, Datuk Sapawi Ahmad yang juga Ahli Parlimen Sipitang.

Dalam pada itu, Musa yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, kerajaan negeri akan terus komited dalam usaha memajukan dan meningkatkan tahap pendidikan rakyat di negeri itu.

"Kita bukan sahaja akan memperluaskan peluang pendidikan kepada seluruh rakyat, malah turut memberi fokus kepada peningkatan kualiti pendidikan dan modal insan bagi memacu pembangunan negeri ke tahap lebih tinggi," katanya.

Beliau turut berpesan kepada penuntut-penuntut tersebut bahawa mereka bukan sahaja mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memenuhi harapan dan kepercayaan keluarga bahkan juga kepada negeri dan negara.

"Penuntut merupakan 'duta kecil' Sabah. Jadilah contoh yang terbaik kepada penuntut lain dari segi perpaduan, kerjasama, kepemimpinan, sahsiah dan kecemerlangan dalam pengajian," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment