My Add

Monday 8 July 2013

Jawatan Presiden MIC wajar dipertandingkan

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL

SEREMBAN, AHAD, 07 Julai, 2013: Bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini menegaskan bahawa jawatan tertinggi dalam parti itu wajar dipertandingkan dalam pemilihan yang akan berlangsung beberapa bulan lagi.

Samy yang juga Duta Khas Infrastruktur ke India dan Asia Selatan berkata, demokrasi tidak wujud sekiranya perkara itu tidak dibenarkan dalam pemilihan parti berkenaan.

"Sewaktu saya menjadi Presiden, saya tidak pernah sekali bercakap atau meminta penyokong untuk meminta atau mengarahkan agar tiada pertandingan untuk jawatan utama ini.

"Kita mesti membenarkan pertandingan pada pemilihan parti itu kerana ia adalah sebahagian daripada proses demokrasi," kata beliau selepas majlis graduasi Kolej Tafe kali ke-19, di sini hari ini.

Samy yang menjawat jawatan Presiden MIC selama 31 tahun sehingga beliau mengundur diri pada tahun 2010, juga mengingatkan ahli supaya berhenti mendapatkan sokongan untuk bersetuju dengan sebarang keputusan agar tidak mempertandingkan jawatan tertinggi parti tersebut.

"Apabila kita bercakap untuk tidak menyaksikan pertandingan jawatan utama itu maka ketika itulah akan memperlihatkan betapa lemahnya kita mentadbir parti," tegas beliau.

Sebelum ini, pengganti Samy, Datuk Seri G. Palanivel diuar-uar bakal menerima tentangan daripada timbalannya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam bagi jawatan presiden pada pemilihan yang dijadualkan hujung tahun ini.

Subramaniam, 60, kini merupakan Menteri Kesihatan, sementara Palanivel adalah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Selain mereka, turut berhasrat bertanding bagi kerusi Timbalan Presiden MIC dalam pemilihan akan datang ialah Naib Presiden ketika ini yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan.

Ditanya siapakah pilihan terbaik untuk jawatan presiden parti berkenaan, Samy berkata, beliau akan bercakap mengenainya ketika pemilihan semakin hampir dan itu pun jika ada yang difikirkan sesuai.

"Saya menyaksikan perkembangan dalam parti ini sejak empat ke lima tahun lalu dan saya fikir, parti ini memerlukan perubahan dan tenaga lebih segar," katanya.

Pemilihan peringkat cawangan MIC akan diadakan pada 12 Julai hingga 4 Ogos ini, manakala bahagian akan bersidang pada September hingga Oktober.

Bagi pemilihan jawatan timbalan presiden dan tiga naib presiden serta 23 ahli majlis tertinggi parti akan berlangsung sama ada November atau awal Disember ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment