My Add

Monday 8 July 2013

Rombak syarat program MM2H wajar - Mohamed N

BATU GAJAH, AHAD, 07 Julai, 2013: Cadangan menaikkan syarat kewangan bagi warga asing yang mahu menyertai program 'Malaysia Rumah Keduaku' (MM2H) adalah wajar kerana kadar sedia ada dibuat ketika program itu mula diperkenalkan pada 2002.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, langkah itu juga bagi memastikan hanya warga asing yang berkualiti tinggal di negara ini menerusi program tersebut.

"Apa (syarat kewangan) yang bernilai RM300,000 pada 2002 mungkin sudah bernilai RM2 juta pada masa sekarang. Takkan dengan satu harga begitu murah kita letakkan, kita berkongsi negara yang indah ini dengan orang luar? Kita tidak patut jadikannya begitu mudah.

"Kita mahu warga asing berkualiti datang ke sini dan satu-satunya cara untuk memastikan mereka ini berkualiti adalah kita mesti tingkatkan kadar itu daripada RM300,000 yang murah sangat kepada RM2 juta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pembangunan Pelancongan Kellie's Castle, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai cadangannya sebelum ini meningkatkan kriteria kewangan kepada pemohon program (MM2H) iaitu mereka perlu mempunyai simpanan tetap sebanyak RM2 juta dalam mana-mana bank tempatan berbanding RM300,000 sebelum ini.

Mohamed Nazri berkata, rakyat asing yang mahu berkongsi keistimewaan yang ada di negara ini perlu membayar harga premium dan bukannya harga yang murah.

"Kita mahukan pelancong. Kita tidak perlukan wang ini sebenarnya. Kita mahu orang datang dan menikmati keindahan negara ini.

"Ada pelancong yang suka negara ini dan mahu tinggal di sini, tetapi mereka perlu membayar harga premium. Orang boleh bantah, tetapi saya rasa rakyat Malaysia sependapat dengan saya," ujarnya.

Menurut Mohamed Nazri, beliau telah mengarahkan pegawai di kementeriannya menyiapkan kertas cadangan berhubung perkara itu sebelum dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan dalam masa terdekat.

Sehingga kini, seramai 21,000 warga asing menyertai program MM2H dengan sebahagiannya tinggal terus di negara ini manakala sebahagian lagi berulang-alik dari negara asal.

Berdasarkan kajian oleh Forbes Online, Malaysia merupakan negara ke-10 paling mesra di dunia. Kajian itu mengambil kira kualiti hidup, kepuasan kehidupan sosial, kemudahan pengangkutan dan kediaman yang selesa. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment