My Add

Sunday 28 July 2013

Jouriah ingin bertemu anak menjelang Aidilfitri

 Jouriah Abu Bakar

MELAKA, SABTU, 27 Julai, 2013: Tiada apa yang dapat menggembirakan hati seorang ibu, Jouriah Abu Bakar, 64, ketika ini selain bertemu anak gadisnya yang terpisah sejak setahun lalu.

Penghuni Rumah Seri Kenangan Cheng itu mengharapkan kerinduan terhadap anaknya, Normala Baharom, 23, bakal terlerai menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

"Makcik rindu anak, dia tak tahu makcik masuk ke sini, kali terakhir kami bertemu adalah pada pagi hari raya tahun lalu di sebuah rumah kebajikan di Negeri Sembilan.

"Makcik rindu dia sangat, dia tinggal di rumah kebajikan di Mersing, Johor, harap dia dapat cari makcik di sini," kata Jouriah menahan sebak.

Jouriah yang berasal dari Raub, Pahang itu menetap di rumah kebajikan di Seremban sejak tahun 2008 sebelum dihantar ke rumah Rumah Seri Kenangan Cheng pada awal tahun ini.

Jouriah berkata, kehidupannya berubah menjadi tidak keruan sejak suaminya meninggal dunia, ketika itu anaknya berusia dua bulan.

Lebih malang lagi, keadaan yang menimpanya itu tidak dipedulikan oleh adik-beradik lain.

"Malah adik-beradik langsung tak datang jenguk setiap kali hari raya. Makcik orang susah, mak ayah dah tak ada nak harapkan siapa lagi, menangis makcik bila tak dipedulikan langsung.

"Makcik terpaksa bawa diri dengan anak merayau ke sana sini mencari sesuap nasi, itulah yang membuatkan makcik sedih sangat, sehinggalah makcik dimasukkan ke rumah kebajikan di Negeri Sembilan," katanya dengan deraian air mata.

Sebelum dimasukkan ke rumah kebajikan tersebut kata Jouriah, dia menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM550 sebulan.

Pun begitu, katanya, dia bersyukur ditempatkan di rumah kebajikan tersebut kerana diberi perhatian dan jagaan sebaiknya oleh para petugas. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment