My Add

Friday 26 July 2013

JPJ kenal pasti 146 lokasi kemalangan seluruh negara

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenal pasti sebanyak 146 kawasan kerap kemalangan (KKK) di seluruh negara yang akan diberi perhatian sepanjang kempen keselamatan jalan raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Ahmad berkata, daripada jumlah itu sebanyak 72 KKK akan diselia oleh JPJ sepanjang musim perayaan ini manakala 74 KKK lagi di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sepanjang kempen kali ini katanya, JPJ akan menempatkan anggotanya di setiap lokasi panas dan mereka akan bertindak tegas terhadap pengguna kenderaan yang melanggar peraturan jalan raya.

"KKK kali ini menurun berbanding tahun lalu setelah pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil langkah memperbaiki mutu jalan raya dan lebuh raya yang boleh mengundang risiko kepada pengguna.

"Bagaimanapun itu tidak akan menjadi alasan untuk kita tidak melakukan penguatkuasaan yang tegas sebaliknya JPJ bersama agensi lain terutama sekali polis akan menjalankan operasi lebih kerap," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengetuai operasi pra-Aidilftri bersama Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan polis trafik di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) hari ini. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment