My Add

Saturday 20 July 2013

 29 kampung dimajukan babit satu juta belia menganggur - Shafie Apdal

KUALA LUMPUR, SABTU, 20 Julai, 2013: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mengenal pasti 29 kampung untuk dimajukan menerusi beberapa program, membabitkan kira-kira sejuta belia menganggur di kawasan terbabit.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kerajaan memperuntukkan RM137 juta bagi menjayakan tiga program kemajuan luar bandar di seluruh negara iaitu Program Desa Abad ke-21, Desa Lestari dan Pertanian Moden Berskala Besar.

"Antara kampung yang kita kenal pasti ialah di Kinabatangan, Sabah yang kita nampak berpotensi untuk dibangunkan produk inap desa kerana kawasan itu kaya dengan khazanah hutan.

"Tidak semua pelancong asing akan tinggal di hotel mewah, mereka ini lebih suka kepada alam sekitar. Mereka suka tinggal di inap desa yang unik binaannya daripada kayu, rotan, buluh dan beratap rumbia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bubur lambuk amal media di sini, hari ini.

Sebanyak 300 sukarelawan membantu menyediakan 15 periuk bubur lambuk untuk diagihkan kepada anggota pasukan keselamatan, anak yatim, masjid dan surau di sekitar Lembah Pantai.

Mohd Shafie berkata KKLW amat komited menjayakan usaha itu dan akan memadatkan kawasan luar bandar dengan kegiatan ekonomi melibatkan golongan belia yang menganggur dan masih mencari pekerjaan.

"Setiap belia akan diberi latihan mengikut program yang kita akan jalankan, dan kita akan beri galakan supaya mereka berjaya agar mereka tidak berhijrah ke kawasan bandar kerana banyak lagi peluang yang ada di kawasan luar bandar yang belum diterokai," katanya. 

Setakat ini, katanya sebanyak 16 kampung di seluruh negara telah menerima peruntukan berjumlah RM19 juta di bawah program berkenaan yang disasar untuk mengimbangkan pendapatan antara penduduk banda dan luar bandar.

Mengenai pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang akan diadakan Rabu ini, Mohd Shafie berkata beliau yakin pengundi akan memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan kerajaan menunaikan janjinya kepada rakyat.

"Selebihnya kita serahkan kepada 17,683 pengundi DUN berkenaan agar menunaikan kewajipan sebagai rakyat negara yang layak mengundi memilih kerajaan pilihan mereka," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment