My Add

Friday 5 July 2013

Kecualikan bayaran muka

 Irmohizam Ibrahim
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 04 Julai, 203: Seorang Ahli Parlimen hari ini mencadangkan supaya bayaran muka pembelian rumah dilupuskan bagi mengurangkan beban orang ramai khususnya golongan muda untuk memiliki sebuah rumah sendiri memandangkan harganya yang semakin mahal.

Cadangan itu dibuat oleh Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) ekoran kebimbangannya mengenai nasib generasi muda termasuk golongan berijazah untuk memiliki sebuah rumah sendiri.

Beliau berkata, berdasarkan harga rumah yang ditawarkan, golongan muda sukar untuk membeli sebuah rumah memandangkan gaji bulanan mereka tidak mencukupi.

''Sebagai contoh, kajian terhadap 10 orang pekerja berijazah yang berkhidmat selama lima hingga lapan tahun dan memperoleh pendapatan antara RM3,350 hingga RM5,000 mendapati golongan seperti ini juga masih sukar untuk memiliki rumah.

''Kemampuan yang rendah dalam isu pemilikan rumah sendiri ini ekoran harga yang tinggi serta lain-lain faktor yang berkaitan dengan kos sara hidup terutamanya di Lembah Klang," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani dalam kenyataannya semalam menggesa kerajaan membeli tanah-tanah strategik di sekitar bandar raya Kuala Lumpur untuk dibangunkan sebagai kawasan perumahan mampu milik kepada golongan berpendapatan sederhana.

Mengulas lanjut, Irmohizam berkata, bagi rumah kos sederhana rendah, harga yang ditawarkan adalah sekitar RM200,000 dan itu bererti kos bayaran muka adalah sebanyak 10 peratus.

''Itu yang diamalkan di dalam industri hari ini dan kos bayaran muka masih menjadi satu bebanan yang berat walaupun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan akaun dua membiayai bayaran muka 10 peratus.

''Ini kerana rumah kos sederhana rendah memerlukan bayaran muka sebanyak RM20,000 dan ini tidak termasuk tiga lagi kos yang harus ditanggung meliputi kos guaman dengan pemaju, kos guaman dengan bank dan kos insurans," ujarnya.

Berdasarkan senario semasa beliau berkata, amat jarang kos guaman diserap oleh pemaju mahu pun bank kecuali kos insurans MRTA yang pada kebiasaannya termasuk di dalam pinjaman.

''Oleh itu saya mencadangkan agar bayaran 10 peratus sebagai bayaran muka pembelian rumah dilupuskan bagi pekerja bergaji RM4,000 sebulan dan memiliki RM20,000 dalam akaun dua KWSP setelah lima tahun bekerja.

''Dengan cara ini wang akaun dua KWSP boleh digunakan untuk menampung kos guaman," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment