My Add

Tuesday 9 July 2013

Kebebasan media 'mati' jika pembangkang memerintah

KUALA LUMPUR, ISNIN, 08 Julai, 2013: Kebebasan media serta hak bersuara yang diamalkan negara ketika ini akan hilang sekiranya pakatan pembangkang diberi peluang memerintah negara kelak.

Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Dzulkarnian Taib berkata, perkara itu semakin terbukti selepas pembangkang berterusan memberi tekanan kepada media arus perdana termasuk menerusi rancangan memboikot syarikat media elektronik dan cetak.

Malah, beliau menempelak pembangkang yang melihat kebebasan media hanya wujud sekiranya laporan yang dibuat memihak kepada mereka.

"Kerajaan BN hari ini lebih terbuka dalam mengamalkan kebebasan media, walaupun dihentam teruk media propembangkang seperti portal berita dan blog, namun kerajaan tetap menghormati peranan dan tugas mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas rancangan pembangkang melancarkan gerakan menghasut rakyat memboikot akhbar Utusan Malaysia, The Star, New Straits Times (NST) dan TV3 selama tiga tahun sebelum Pilihan Raya Ke-14.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli ketika mendedahkan rancangan itu kelmarin mendakwa, tindakan boikot yang akan dilancar selepas Hari Raya Aidilfitri tersebut akan dilaksana sehingga keempat-empat organisasi media berkenaan bankrap.

Dalam pada itu, Dzulkarnain menilai rancangan pembangkang tersebut kerana bimbang terhadap kekuatan serta peranan besar yang dimainkan media utama seperti Utusan Malaysia dalam membantu kejayaan Barisan Nasional (BN) sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Pembangkang menyedari kekuatan media utama ini yang merupakan antara faktor kekuatan BN dan UMNO, malah peranan media seperti Utusan Malaysia memperlihat orang Melayu kembali menyokong UMNO," katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Wartawan Negeri Sembilan (Ikwan), Rais Yeop Johari berkata, rancangan pembangkang tersebut memperlihat sikap hipokrit pemimpin mereka.

Sedangkan, kata beliau, pemimpin pembangkang selama ini turut menjadikan media arus perdana seperti Utusan Malaysia dan TV3 sebagai rujukan dalam mengikuti isu semasa.

"Malah, rancangan memboikot ini sudah tentu menipiskan peluang mereka menyaman media seperti yang sering dilakukan terhadap Utusan Malaysia dan syarikat media lain sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Melayu Tanjung (Permata), Ismail Kasim berkata, media arus perdana seperti Utusan Malaysia memainkan peranan besar sebagai suara orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Malah, kata beliau, media arus perdana juga menjadi benteng dalam mempertahan perlembagaan yang cuba dicabuli pihak tidak bertanggungjawab.

"Sikap pembangkang memboikot media utama ini tidak ubah seperti tindakan 'kuku besi' yang cuba menutup kebenaran yang disampaikan media cetak dan elektronik," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment