My Add

Thursday 11 July 2013

Kembalikan demokrasi Mesir

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

 Hamzah Zainuddin
 KUALA LUMPUR, RABU, 10 Julai, 2013: Malaysia mahu proses pilihan raya di Mesir dijalankan dengan segera bagi mengembalikan pemerintahan demokrasi selepas tentera melakukan rampasan kuasa sehingga meletakkan negara itu diancam perang saudara.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin walau bagaimanapun berkata, Malaysia mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam krisis politik yang melanda Mesir berikutan perkara itu adalah isu dalaman negara tersebut.

Sebaliknya, beliau menarik perhatian semua pihak khususnya pemimpin pembangkang mengambil iktibar dan pengajaran daripada pergolakan berdarah di Mesir terutamanya impak ke atas ekonomi serta kesan kepada rakyat jelata.

"Ambil iktibar sebagaimana peringatan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) bahawa perubahan kalau tidak diurus dengan baik akan membawa kemudaratan kepada negara," katanya semasa menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai isu mengapa Malaysia hanya menjalankan hubungan rasmi dengan Fatah dan bukan Hamas seperti dibangkitkan Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa (Pas-Parit Buntar), beliau menjelaskan, perkara itu disebabkan Fatah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Walau bagaimanapun, jelas Hamzah, situasi itu langsung tidak menjejaskan sokongan Malaysia kepada rakyat Palestin kerana hampir sepanjang masa kerajaan Barisan Nasional (BN) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdiri di belakang Palestin.

"Kedudukan Fatah dan Hamas ini kita nak mereka bersatu tetapi kerajaan Palestin yang diiktiraf antarabangsa ialah Fatah. Kita berkawan sesama Islam termasuk Hamas bukan macam Pas yang tak mahu berkawan dengan UMNO," katanya sinis.

Dalam pada itu, beliau yakin penyelesaian persempadanan maritim antara Malaysia dengan Indonesia dapat diselesaikan dalam tempoh tidak berapa lama lagi memandangkan kedua-dua negara sudah melalui 24 mesyuarat teknikal.

Beliau memberitahu, namun isu persempadanan maritim di kepulauan Ambalat masih memerlukan perbincangan lanjut antara kedua-dua negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment