My Add

Monday 8 July 2013

Kembara Queen Street berjaya

Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD

* KONVOI Kembara Queen Street sempena Sambutan Ulang Tahun ke-75 Utusan Melayu bergambar di hadapan bangunan pertama Utusan Melayu di Jalan Queen Street, Singapura, semalam. - UTUSAN/Mohd Farizwan Hasbullah
SINGAPURA, AHAD, 07 Julai, 2013: Seramai 30 ahli Kelab Kembara Bermotosikal Utusan Melayu (KKBUM) hari ini mencapai misinya apabila Konvoi Kembara Queen Street (KQS) berjaya menjejakkan kaki ke bangunan yang pernah menjadi pejabat Utusan Melayu yang pertama di Queen Street dekat sini.

Bangunan tersebut yang dibuka oleh Pengasas Utusan Melayu iaitu Yusof Ishak selaku Ketua Pengarang yang pertama dan kemudiannya menjadi Presiden Singapura pertama, menjadi titik tolak bermulanya operasi penerbitan Utusan Melayu dalam tulisan jawi 75 tahun lalu.

Apa yang membanggakan dan menjadi kenangan cukup bermakna bagi Konvoi KQS ialah dalam satu majlis yang diadakan di Taman Warisan Melayu, mereka telah dipertemukan dengan bekas wanita pertama Singapura yang juga balu Yusof iaitu Noor Aishah Md. Salim.

Beliau turut menceritakan sejarah arwah suaminya selaku Ketua Pengarang Utusan Melayu pada ketika itu.

Noor Aishah, 80, yang berasal dari Pulau Pinang meluahkan rasa terharu dan bangga terhadap seluruh kepemimpinan Kumpulan Utusan yang mengenang dan menghargai perjuangan suaminya khususnya selaku pengasas penubuhan sebuah akhbar keramat yang kini telah menjangkau usia 75 tahun.

Turut diraikan ialah bekas petugas Utusan Melayu di Singapura, Syed Ahmad Syed Yaakub, Eunos Asa dan Radiah Salleh.

Kehadiran bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan yang juga bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menjadikan misi Konvoi KQS lebih bermakna kepada para peserta kerana dapat menghayati secara mendalam sejarah penubuhan Utusan Melayu yang cukup keramat.

Ini kerana Zainuddin yang lebih dikenali dengan panggilan Zam telah menceritakan pengalamannya pada zaman awal penubuhan Utusan Melayu di Singapura dengan mengabadikannya menerusi buku 'Di Depan Api, Di Belakang Duri' yang dilancarkan baru-baru ini.

Konvoi KQS merupakan projek sulung anjuran KKBUM bersempena sambutan ulang tahun ke-75 Utusan Melayu (M) Berhad dengan diketuai oleh Penolong Ketua Pengarang 1 Utusan, Datuk Zaini Hassan melibatkan 30 buah motosikal berkuasa tinggi.

Terdahulu, konvoi yang berlepas dari Johor Bahru menziarahi pusara Yusof yang terletak di Keranji, Woodlands dengan peserta menghadiahkan Al-Fatihah diikuti doa yang dipimpin oleh Yang Dipertua Badan Keluarga Utusan Melayu, Kamsari Nor.

Yang turut serta dalam konvoi itu Pengurus Jabatan Pengarang, Syed Agil Syed Jaafar; Ketua Editor Foto, Abdul Kadir Bachok dan Pengarah Program Konvoi KQS, Asmaruddin Jamaluddin. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment