My Add

Monday 8 July 2013

Wang Kelian jadi tumpuan persiapan Ramadan


 * SUASANA di Pasar Sehari Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand dipenuhi pengunjung kedua-dua buah negara yang mengambil kesempatan membeli-belah barangan keperluan sebagai persiapan bulan Ramadan, semalam.
PADANG BESAR, AHAD, 07 Julai, 2013: Ribuan pelancong membanjiri Pasar Sehari Wang Kelian di sempadan Malaysia-Thailand dekat sini hari ini, bagi mengambil kesempatan membeli-belah untuk persiapan menyambut Ramadan.

Rata-rata mereka membeli pelbagai barang keperluan untuk kegunaan sepanjang bulan puasa dan juga hari raya nanti.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati laluan ke pintu masuk Wang Kelian-Wang Prachan dipenuhi dengan pelancong yang bertali arus.

Bukan sahaja rakyat Malaysia yang mengambil kesempatan membeli-belah di sebelah Thailand, malah pelancong dari Thailand yang beragama Islam pula berkunjung ke sebelah Malaysia.

Pasar Sehari Wang Kelian menjadi popular di kalangan rakyat Malaysia dan Thailand kerana ia menjadi laluan bebas untuk bergerak sejauh satu kilometer tanpa pasport atau pas sempadan.

Biasanya pasar yang dibuka seawal pukul 8 pagi itu menjadi lebih sibuk pada hari Ahad kerana ia merupakan cuti hujung minggu kepada rakyat di kedua-dua negara.

Kenderaan awam dan juga milik persendirian mula memenuhi kawasan meletak kenderaan seawal pukul 7.30 pagi.

Kebanyakan pelancong pula gemar membeli-belah pada sebelah pagi untuk mengelak cuaca yang semakin panas menjelang tengah hari.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kebanyakan pelancong dari negara ini banyak tertumpu di gerai menjual ikan kering untuk dijadikan sebagai makanan pembuka selera khususnya ketika bersahur.

Kalangan wanita pula mengambil peluang untuk membeli peralatan dapur seperti periuk, kuali dan juga kuali kukus makanan.

Tidak kurang juga yang membuat persiapan membeli baju raya untuk anak-anak.

Junaidah Saidon, 35, dari Banting, Selangor amat gembira kerana akhirnya berpeluang untuk membeli-belah di Pasar Sehari Wang Kelian yang selama ini hanya didengar dari jiran dan rakan-rakan.

"Saya beli periuk, kuali kukus makanan, bunga dan kasut kerana harga yang ditawarkan amat berpatutan," katanya yang datang dengan bas rombongan." katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment