My Add

Thursday 25 July 2013

Pasaran modal tumbuh RM1.5 trilion

Oleh AZMAN IBRAHIM
 
 Ong Li Lee, Pemangku Pengarah Bursa Malaysia
KUALA LUMPUR, RABU, 24 Julai, 2013: Pasaran modal di Malaysia telah tumbuh lebih 130 peratus dalam tempoh lebih empat tahun menjadikannya kepada AS$481 bilion (RM1.5 trilion) setakat April 2013, kata Pemangku Pengarah Bursa Malaysia, Ong Li Lee.

Beliau berkata, hal itu didorong oleh syarikat multinasional (MNC) yang berkeyakinan tinggi dan percaya terhadap pasaran di negara ini.

"Lebih 45 peratus syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia telah menjana perolehan dari luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam taklimat mengenai jualan singkat terkawal (RSS) serta pinjaman dan peminjaman sekuriti (SBL) di sini hari ini.

Tambah Li Lee, Malaysia kini berada di tangga keempat dari segi tadbir urus korporat pada 2012 dan juga tempat keempat dalam perlindungan pelabur dalam tahun yang sama.

Jelasnya, dengan asas pasaran yang kukuh, Bursa Malaysia mengambil peluang ini dengan meluaskan lagi jumlah sekuriti-sekuriti yang diluluskan dan membenarkan kemasukan pantas (fast entry) bagi saham-saham yang mempunyai modal besar di bawah RSS.

"Sebagaimana Malaysia dalam menuju peneraju pasaran ASEAN, RSS dan SBL akan menjadi mekanisme pasaran yang signifikan bagi membolehkan kami daripada berada pada status 'maju baru muncul' kepada 'maju'," ujarnya.

Kata Li Lee, Bursa Malaysia akan terus menyediakan pelabur-pelabur dengan alat atau kaedah yang diperlukan bagi membantu mereka menggunakan strategi-strategi yang lebih mantap.

Sementara itu, beliau berkata, RSS dan SBL di negara ini dijangka lebih berkembang dan mendapat sambutan menggalakkan tahun ini.

Katanya, dalam tempoh seminggu sehingga 22 Jun lalu, sebanyak 171 kaunter institusi telah diluluskan sekuriti RSS.

Lee berkata, pada waktu ini, pihaknya hanya membuka tawaran itu kepada pelabur institusi bagi memperbaiki apa yang Bursa Malaysia telah tawarkan di pasaran.

Malah, katanya, aktiviti RSS dan SBL dijangka terus berkembang sehingga dibuka dalam kalangan pelabur runcit suatu hari nanti.

Jualan singkat bermakna seseorang menjual aset atau instrumen yang belum lagi dimilikinya dan beliau perlu memegang pegangan jangka pendek dengan membeli balik aset atau instrumen kemudiannya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment