My Add

Friday 26 July 2013

Warta sekat Syiah di setiap negeri

Oleh MOHD. AZRAIE MD. YUSOF

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Setiap negeri digesa mewartakan segera fatwa menyekat penyebaran Syiah bagi membolehkan penguatkuasaan dapat dilaksana secara menyeluruh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan Syiah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam namun penguatkuasaan kepada aktiviti penyebaran fahaman itu tidak dapat dilakukan jika tidak digazetkan di setiap negeri.

Menurut beliau, perkara itu mengikut kehendak Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan hal ehwal Islam terletak di bawah pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

"Pihak berkuasa agama setiap negeri pula jangan hanya menggazetkan fatwa tersebut tetapi perlu mengambil serius dalam penguatkuasaannya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kembara Zakat Maybank Islamic Berhad (Maybank Islamic) di sini hari ini.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 memutuskan ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam.

Sehubungan itu, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan segala bentuk penyebaran mengenai ajaran yang lain daripada pegangan ASWJ di negara ini adalah dilarang.

Menurut Jamil Khir, pihak berkuasa agama di setiap negeri perlu mempunyai mekanisme dalam menguatkuasakan undang-undang tersebut.

Katanya, seperti agama-agama lain di negara ini, pengikut Syiah boleh mengamalkan ajaran mereka namun dilarang mengembangkan atau menyebarkan fahaman tersebut kepada umat Islam yang majoritinya mengikut fahaman ASWJ.

"Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan agama Islam merupakan agama Persekutuan dan dalam masa sama agama-agama lain masih bebas diamalkan setiap penganutnya sebagaimana dalam Perkara 11(1).

"Namun, agama-agama lain dikenakan syarat yang mana penyebaran apa-apa kepercayaan selain Islam tidak dibenarkan dalam kalangan orang Islam di negara ini sebagaimana dalam Perkara 11(4)," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment