My Add

Thursday 18 July 2013

Kerajaan pastikan penurunan defisit fiskal KDNK - PM

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Kerajaan akan memastikan tahap defisit fiskal Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) terus menurun kepada kadar empat peratus tahun ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Dewan Rakyat hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga akan terus berusaha untuk mencapai tahap defisit KDNK sebanyak tiga peratus pada 2015 tanpa menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka masa sederhana.

"Tahap defisit KDNK berjaya dikurangkan daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 4.5 peratus tahun lepas.

"Bagi jangka masa panjang, kerajaan akan terus komited untuk mencapai sasaran bajet berimbang menjelang 2020," katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (DAP-Segambut).

Lip Eng meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah secara teliti dan sasaran dalam usaha kerajaan mengurangkan defisit bajet, mengurangkan hutang negara dan mencapai pertumbuhan ekonomi mapan.

Najib berkata, pembentukan Jawatankuasa Dasar Fiskal semasa Majlis Konsultasi Bajet 2014 pada 18 Jun lepas, bertujuan menguruskan fiskal negara serta meluluskan strategi fiskal jangka masa sederhana dan panjang.

Katanya, ia bagi mencapai sasaran fiskal seperti tahap defisit dan hutang kerajaan yang lebih rendah tahun ke tahun dan seterusnya mencapai sasaran bajet berimbang pada 2020.

Beliau berkata, bagi tempoh suku pertama tahun ini, KDNK negara berjaya mencapai tahap 4.1 peratus.

"Pertumbuhan itu disokong oleh permintaan domestik, khususnya peningkatan perbelanjaan penggunaan sebanyak 6.1 peratus dan aktiviti pelaburan yang lebih kukuh sebanyak 13.2 peratus," katanya.

Mengulas lanjut, Najib berkata, berdasarkan petunjuk ekonomi terkini, kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi akan terus kekal kukuh dan mencapai sasaran antara lima hingga enam peratus tahun ini. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment