My Add

Saturday 20 July 2013

Rakyat Malaysia hadapi krisis serius penyakit tidak berjangkit

KUALA BESUT, SABTU, 20 Julai, 2013:: Rakyat Malaysia akan menghadapi bahaya kematian akibat penyakit tidak berjangkit (NCD) yang serius sekiranya tidak mengamalkan cara hidup sihat ekoran kemewahan hidup kini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata NCD kini dianggap sebagai satu pandemik di peringkat global di negara-negara maju termasuk yang sedang membangun seperti Malaysia.

Antara penyakit yang terangkum di bawah NCD ialah diabetes, hipertensi dan obesiti.

Katanya, daripada laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2008, dianggarkan 63 peratus daripada sebanyak 57 juta kematian akibat penyakit di seluruh dunia adalah kerana NCD.

"Daripada jumlah itu pula Malaysia menduduki tempat yang ke-10 berdasarkan penyebab utama daripada kemasukan dan kematian akibat NCD di hospital-hospital Kementerian Kesihatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan Pakar Perubatan Bersama Komuniti Daerah Besut di Kampung Air Terjun di sini hari ini.

Beliau berkata, kajian Kementerian Kesihatan juga mendapati akibat daripada kelalaian untuk mengamalkan hidup cara sihat dianggar 1.7 juta rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas mengalami obesiti.

Katanya, tinjauan kesihatan dan morbiditi kebangsaan (NHMS) pada tahun 2011 menunjukkan prevalen penyakit diabetes di kalangan rakyat Malaysia meningkat kepada 15.2 peratus berbanding 11.6 peratus pada 2006. 

Manakala hipertensi di kalangan dewasa berumur 30 tahun juga meningkat daripada 32.2 peratus pada tahun 2006 kepada 32.7 peratus pada dua tahun lalu.

"Prevalen obesiti pula turut meningkat sebanyak tiga kali ganda daripada 4.4 peratus pada 1996 kepada 15.1 peratus pada tahun 2011 dan begitu juga prevalen merokok telah meningkat kepada 24.7 peratus (2011) berbanding 21.5 peratus pada 2006," katanya.

Beliau memberitahu pada keseluruhannya faktor-faktor risiko penyakit tidak berjangkit semakin meningkat di mana kini terdapat 2.8 juta rakyat dewasa menghidap diabetes, 5.8 juta (hipertensi), 6.2 juta mempunyai kolesterol tinggi dan 2.5 juta yang lain obesiti.

Justeru beliau meminta rakyat supaya mengamalkan gaya hidup sihat dengan meninggalkan amalan merokok, pemakanan tidak sihat, kurang melakukan akitiviti fizikal dan tingkah laku dengan mendapatkan panduan dari Kementerian Kesihatan agar tidak mudah diserang NCD.

Katanya, kementeriannya bercadang untuk mengadakan kerjasama dengan RTM untuk menayangkan informasi Medik TV yang kini hanya ditayangkan di hospital-hospital.

"Juga akan diadakan kerjasama dengan beberapa jabatan seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan badan-badan lain yang mempunyai hubungan rapat dengan orang ramai," katanya.

Mengenai kemudahan kesihatan di Terengganu, Dr Hilmi berkata Terengganu yang dulu pernah tergolong dalam kategori yang tahap kesihatannya rendah, kini maju ke hadapan dengan jumlah rakyatnya hidup sihat tanpa penyakit semakin meningkat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment