My Add

Sunday 21 July 2013

Pasar raya digalak sertai kempen turun harga

 * HASSA Malek melihat senarai barang-barang yang diberikan potongan harga ketika melancarkan Kempen Penurunan Harga di sebuah pasar mini di Jelebu, Negeri Sembilan, semalam. Abu Ubaidah Redza (dua dari kanan). - BERNAMA
JELEBU, SABTU, 20 Julai, 2013: Rangkaian pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara digalakkan supaya menyertai kempen penurunan harga barangan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, inisiatif itu secara tidak langsung akan memanfaatkan pengguna dan peruncit.

"Pengguna dapat menjimatkan belanja, pada masa sama peruncit boleh menarik lebih ramai pengguna ke kedainya, sekali gus meningkatkan jualan.

"Situasi menang-menang ini juga membantu menggerakkan ekonomi negara," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kempen Penurunan Harga di pasar mini 99 Speedmart Sdn. Bhd., di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri Abu Ubaidah Redza.

Jelasnya lagi, kempen penurunan harga yang dilaksanakan kerajaan sejak 2008 bertujuan memberikan tawaran dan penjimatan kepada pengguna berikutan kesan kenaikan harga barangan di pasaran.

"Namun, setakat ini hanya dua syarikat menyertai kempen ini iaitu 99 Speedmart Sdn. Bhd., dan AEON, berbanding 33 syarikat dalam tempoh sama tahun lepas.

"Jika lebih banyak penggiat industri yang menyertai kempen ini, sudah pasti impaknya lebih besar," ujarnya.

Kempen penurunan harga di 99 Speedmart itu berlangsung selama 37 hari, bermula 9 Julai lalu dengan menawarkan penjimatan sehingga 30 peratus meliputi 71 jenis produk makanan dan barangan keperluan Aidilfitri.

99 Speedmart Sdn. Bhd., mempunyai 452 rantaian pasar mini di tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment