My Add

Wednesday 10 July 2013

Kukuhkan perpaduan ummah dan persaudaraan sesama umat Islam: TPM  

KUALA LUMPUR SELASA, 09 Julai, 2013: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengajak seluruh umat Islam supaya mengukuhkan persaudaraan dan perpaduan ummah supaya Islam sentiasa disanjung tinggi dan dipandang mulia oleh umat manusia.

Muhyiddin berkata, simbol perpaduan ummah sejagat itu lebih terserlah apabila umat Islam di seluruh dunia tanpa mengira batas sempadan bangsa dan negara, bahasa dan budaya sama-sama menyambut kehadiran bulan Ramadan esok dengan menjalani ibadah puasa dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

"Marilah kita bersama-sama menghias bulan ini dengan memperbanyakkan amal kebajikan dan mengabdikan diri kepada Allah SWT serta memohon keampunan-Nya.

"Mudah-mudahan, ibadah puasa yang kita jalani sepanjang bulan Ramadan ini akan menjadikan kita insan yang sabar menempuh ujian dan dugaan yang mendatang," katanya dalam perutusan sempena bulan Ramadan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ibadat zakat fitrah yang ditunaikan dan sedekah jariah yang sering diamalkan sepanjang bulan Ramadan juga mudah-mudahan dapat menyemai rasa kasih sayang kepada sesama insan.

Muhyiddin berkata, rakyat Malaysia terutama umat Islam seharusnya bersyukur kerana dapat menunaikan ibadah puasa dan melaksanakan amalan lain sepanjang bulan Ramadan dalam suasana yang aman dan makmur.

"Sempena bulan Ramadan yang penuh barakah ini, kita mendoakan supaya umat Islam di Palestin, Mesir, Syria dan di negara lain yang sedang bergolak cekal mengharungi dugaan.

"Mudah-mudahan pergolakan yang berlaku di negara ini segera berakhir dan umat Islam di sana dikurniakan nikmat keamanan dan kemakmuran yang berkekalan oleh Allah SWT," katanya.

Beliau turut mengucapkan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada seluruh Muslimin dan Muslimat dan mendoakan supaya ibadah puasa yang dijalani diterima oleh Allah SWT dan dibukakan pintu keampunan dan rahmat-Nya serta menjadikan kita insan yang lebih bertakwa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment