My Add

Sunday 7 July 2013

Lawatan PM ke London tingkat lagi hubungan Malaysia-UK

LONDON, SABTU, 06 Julai, 2013: Lawatan empat hari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke United Kingdom (UK) yang berakhir pada Khamis, membawa hubungan Kuala Lumpur-London ke tahap yang lebih tinggi.

Ini dibuktikan menerusi pelancaran projek pembangunan semula tapak ikon Stesen Janakuasa Battersea (BSP), yang dimajukan oleh konsortium syarikat-syarikat Malaysia terdiri daripada SP Setia Bhd, Sime Darby Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan nilai pembangunan kasar lapan bilion pound sterling.

Juga, dengan pembinaan kira-kira 3,500 rumah baharu, kedai dan taman di barat London, projek itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 10 tahun untuk disiapkan dan mewujudkan 15,000 peluang pekerjaan.

Tan Sri Liew Kee Sin, pengerusi syarikat usaha sama BSP Holding Co pada sidang media di sini menyifatkan projek itu sebagai menandakan transformasi syarikat tempatan daripada "jaguh kampung" menjadi juara dunia. "Menggabungkan bersama kekuatan ketiga-tiga syarikat itu, kita boleh mengalahkan setiap syarikat di dunia untuk menjadi juara dunia dan bukan hanya dilihat sebagai 'jaguh kampung'," katanya.

Financial Times London dalam artikelnya bertajuk "Malaysia moves into London" (Malaysia bergerak ke London) pada Khamis memetik Najib sebagai berkata pelaburan agresif Malaysia di UK, terutamanya dalam pasaran hartanah London, akan menjadikan bekas tanah jajahan British itu sebagai peserta utama dalam pasaran hartanah London.

Akhbar itu yang merupakan salah satu akhbar kewangan utama dunia berkata, tahun lepas Malaysia membelanjakan 1.4 bilion pound sterling hampir kesemuanya di London, lebih daripada mana-mana negara Asia lain - menyambar projek pembangunan pejabat di bandar raya London dan projek pembangunan semula mega di BSP.

Sementara itu, Najib semasa sesi soal jawab dengan media Britain di pelancaran rasmi Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-9, yang akan diadakan di London dari 28-31 Okt, berkata pelaburan Malaysia di UK semakin meningkat dengan syarikat-syarikat, termasuk firma berkaitan kerajaan, melabur dalam hartanah dan membeli bangunan di London.

Perdana Menteri berkata Mara sedang menimbang beberapa hartanah di London dan KWSP yang mempunyai dana yang besar, meninjau peluang untuk melabur di sini, dan ini merupakan suatu yang baik bagi ekonomi Britain.

WIEF akan datang dijangka menyediakan pelaburan ketara. Dalam edisi forum sebelumnya di Malaysia, janji niaga bernilai kira-kira RM28 juta berjaya dimeterai.

Menurut WIEF, sektor kewangan Islam ketika ini dianggarkan bernilai 1.2 trilion pound sterling dan dijangka berkembang kepada 1.6 trilion pound sterling pada 2015, dengan negara-negara Islam menyumbang hampir 25 peratus daripada penduduk dunia.

"London mahu mengembangkan peranannya sebagai hab barat bagi kewangan Islam, memanfaatkan 22.3 bilion pound sterling yang dikumpul setakat ini, menerusi statusnya sebagai pengeksport utama perkhidmatan kewangan di seluruh dunia," kata WIEF.

Forum itu yang bertemakan, "Changing World, New Relationship" (Mengubah Dunia, Hubungan Baharu), dijangka menarik lebih 1,500 ketua-ketua kerajaan, ketua-ketua industri, ahli akademik, pakar serantau dan pengurus korporat dari 100 negara.

WIEF juga akan membantu membina hubungan lebih rapat antara Malaysia dan UK, di samping mengembangkan perdagangan dan pelaburan antara dunia Islam dan negara-negara Eropah, terutamanya London.

Bukan sahaja pelaburan Malaysia di London semakin meningkat, begitu juga hubungan dua hala antara kedua-dua negara, serta hubungan dengan kerajaan Britain di bawah pimpinan Perdana Menteri David Cameron, yang disifatkan oleh Najib sebagai perkongsian kemakmuran.

Bagi projek BSP, sebagai contoh, Cameron dan Datuk Bandar London, Boris Johnson telah memberikan kerjasama positif dalam menyelesaikan semua isu berkaitan proses pembangunan semula dalam masa yang singkat.

Ini termasuk keputusan melanjutkan northern line tube (laluan kereta api london) ke Battersea dengan jaminan kewangan kerajaan kepada projek itu.

Najib berkata hubungan tradisional antara Malaysia dan UK diberikan nafas baharu bagi faedah kedua-dua negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment