My Add

Saturday 6 July 2013

Nur Idayu ditemui dalam keadaan selamat di Surabaya

KUANTAN, JUMAAT, 05 Julai, 2013: Tiada apa yang dapat diungkapkan oleh Mohd. Riduan Abd. Razak, 34, selain bersyukur ke hadrat Allah SWT apabila isterinya, Nur Idayu Abd. Aziz, 34, yang dilarikan empat warga Indonesia ditemui selamat di Pasuruan, Surabaya, Indonesia.

Beliau berkata, berita penemuan isterinya telah dimaklumkan oleh kenalan rapat bapa mertuanya yang tinggal di daerah Jawa Timur kira-kira pukul 1.30 pagi tadi.

"Kira-kira pukul 7.30 malam semalam, kawan rapat bapa mertua saya yang dikenali sebagai Pak Rahman telah menghubungi saya bagi memaklumkan dia telah menjumpai rumah suspek yang melarikan isteri saya di Dusun Besuk daerah Jawa Timur.

"Pak Rahman yang meminta bantuan beberapa orang kenalannya menunggu di rumah berkenaan dan kira-kira pukul 9 malam suspek yang dikenali sebagai Saiful Qorif telah pulang ke rumahnya dan ditangkap.

"Bagaimanapun, suspek meninggalkan isteri saya dipercayai di rumah mak saudara atau sepupunya di Pasuruan di daerah Surabaya yang mengambil masa empat jam untuk ke sana dari Jawa Timur, Pak Rahman tiba ke sana kira-kira pukul 1.30 pagi dan Alhamdulillah, isteri saya berjaya diselamatkan," katanya ketika ditemui pemberita di Felda Bukit Sagu 2 di sini hari ini.

Nur Idayu dipercayai dilarikan empat warga Indonesia termasuk seorang wanita pada 22 Jun lalu, yang sebelum ini diupah membuat pengubahsuaian rumah mertuanya di Felda Bukit Sagu 2 di sini.

Mohd. Riduan berkata, Pak Rahman memaklumkan, ketika ditemui isterinya seakan-akan lupa fikiran dan langsung tidak ingat pada suami dan anak-anaknya.

"Dalam fikirannya hanyalah suspek yang telah melarikannya. Bila ditanya mahu pulang atau tidak Pak Rahman bagi tahu isteri saya marah dan tidak mahu pulang kerana mahu tinggal bersama suspek yang melarikannya.

"Saya membenarkan Pak Rahman membawa pulang isteri saya di rumahnya di Jawa Timur untuk dirawat terlebih dahulu kerana dia dipercayai telah dipukau oleh suspek.

"Insya-Allah selepas isteri saya pulih sepenuhnya, baru saya dan keluarga akan menguruskan kepulangannya," katanya.

Beliau berkata, hasil maklumat yang diterimanya, suspek dipercayai menggunakan jalan haram untuk membawa isterinya ke Indonesia.

"Suspek dipercayai membawa isteri saya ke Temerloh, selepas itu meninggalkan kereta di sana dan berkemungkinan menaiki teksi ke Klang. Selepas itu suspek dipercayai menggunakan jalan haram untuk ke Medan seterusnya ke Surabaya," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Riduan yang bekerja sebagai juruteknik sebuah syarikat carigali di Doha, Qatar berkata, dia akan berhenti kerja dan mencari kerja baru di negara ini kerana tidak lagi mahu berjauhan dengan isteri dan tiga anaknya.

"Sekarang saya sedang bercuti dan saya akan sambung cuti ini sehingga lepas Hari Raya Aidilfitri. Lepas raya saya akan ke Qatar untuk berhenti kerja.

"Setelah apa yang berlaku, saya tidak lagi mahu tinggal berjauhan dengan isteri saya, biarlah saya bekerja di sini saja, pasti ada rezeki saya," katanya.

Sementara itu, katanya, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa Indonesia untuk mengambil tindakan ke atas suspek. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment