My Add

Wednesday 17 July 2013

Little India seluruh negara bantah

 * SEBAHAGIAN daripada lebih 200 peniaga di Little India yang melancarkan bantahan di Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/MALINDA ABDUL MALIK
KUALA LUMPUR, SELASA, 16 Julai, 2013: Peniaga 'Little India' di seluruh negara hari ini bersepakat menutup premis perniagaan masing-masing selama sehari sebagai membantah penganjuran karnival beli-belah tahunan peniaga asing dari subbenua India.

Lebih 650 peniaga Little India di Brickfields, Klang dan Georgetown, mengetuai rakan sejawat di Lebuh Ampang, Sungai Petani, Melaka dan Johor Bahru menyuarakan bantahan terhadap karnival itu yang menawarkan pelbagai barangan dari India, Pakistan dan Bangladesh.

Little India di Brickfields hari ini bertukar senario berbanding hiruk-pikuk hari biasa apabila kira-kira 250 pemilik kedai termasuk peniaga sari dan tekstil, kedai runcit, pembekal barangan runcit, restoran India, kedai cakera padat (CD) dan cakera padat video (VCD), barang kemas serta pemborong menutup premis mereka.

Di KLANG, 280 peniaga termasuk pengusaha restoran, barangan kemas dan tekstil di Little India, Jalan Tengku Kelana juga menyertai bantahan itu.

Sementara itu di PULAU PINANG, lebih 200 peniaga Little India di Lebuh Pasar bertindak menutup premis mereka.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Pulau Pinang (MICCI), N. Vasantharajan berkata, para peniaga di kawasan tersebut akan menanggung kerugian ribuan ringgit berikutan penganjuran karnival berkenaan.

"Peserta karnival itu bukan peniaga tempatan. Produk seperti tekstil, barangan kemas, kraftangan yang dijual di karnival itu jauh lebih murah kerana peniaga yang datang dari Pakistan, India dan Bangladesh tidak perlu membayar duti kastam.

"Lebih mengecewakan apabila karnival itu dianjur menjelang musim perayaan dan ini sekali gus menunjukkan persaingan yang tidak sihat," katanya kepada pemberita.

Terdahulu kesemua peniaga terbabit berarak di sepanjang Lebuh King dan Lebuh Pasar sambil membawa sepanduk sebagai tanda bantahan.

Menurut seorang peniaga kain sari, M. P. Alagirisamy, 52, beliau menanggung kerugian besar sepanjang dua minggu karnival sama berlangsung di Penang Times Square tahun lepas.

Katanya, sepatutnya penganjur karnival lebih prihatin kepada peniaga tempatan, bukannya membawa orang luar untuk berniaga. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment