My Add

Wednesday 24 July 2013

Mahkamah tangguh bicara kes culik Nayati sehingga 21 Oktober

KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Julai, 2013: Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan perbicaraan kes culik kanak-kanak lelaki Belanda, Nayati Shamelin Moodliar sehingga 21 Oktober ini bagi membolehkan kanak-kanak itu memberi keterangannya.

Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nik Suhaimi Sulaiman.

Nik Suhaimi berkata, Nayati kini berada di Afrika Selatan dan hanya boleh hadir ke mahkamah pada tarikh berkenaan.

Mahkamah turut dimaklumkan perbicaraan itu terpaksa ditangguhkan kerana Jean Sharmila Jesudason, seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya dalam kes berkenaan, jatuh sakit.

Setakat ini, 15 saksi telahpun memberi keterangan pada perbicaraan Chong Tat Siong, 25, Foong Khar Fai, 20, kedua-duanya penjual telefon bimbit, dan penganggur Lee Phak Seng, 25, yang didakwa menculik kanak-kanak itu.

Ketiga-tiga mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Kiara 1, Mont Kiara, pada 7.30 pagi, 27 April 2012.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan. 

Tat Siong diwakili peguam Rajinder Singh, manakala Foong dan Lee, masing-masing diwakili Datuk Hanif Hashim serta K.T. Wong. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment