My Add

Wednesday 3 July 2013

Lindungi tanah pusaka Melayu

Oleh MUHAMMAD NAQIB NOR SAID

KUALA LUMPUR, SELASA, 02 Julai, 201 Kerajaan perlu segera menubuhkan Jawatankuasa Lembaga Pembangunan Tanah Warisan bagi melindungi tanah warisan Melayu di bandar-bandar.

Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM), Datuk Kamarudin Kachar berkata, usaha itu sebagai langkah memelihara dan membangunkan tanah-tanah milik Melayu.

"Saya melihat penubuhan jawatankuasa tersebut lebih kepada usaha untuk memastikan kepentingan warisan hartanah Melayu dapat dilindungi bagi memastikan golongan Melayu tidak terus tercicir dan mempunyai warisan untuk dibanggakan kepada anak cucu.

"Pihak kami juga yakin dengan cadangan tersebut kerana ia memberi keutamaan kepada golongan Melayu serta bumiputera untuk memiliki premis perniagaan dan kediaman di kawasan tanah warisan yang akan dibangunkan kelak," katanya kepada Utusan Malaysia sini hari ini.

Kelmarin, seorang penulis yang hanya dikenali sebagai Zamri Muda melalui ruangan rencana Utusan Malaysia telah mencadangkan penubuhan Lembaga Pembangunan Tanah Warisan bagi melindungi dan memperkasakan aset-aset yang dipusakai oleh orang Melayu di kawasan bandar.

Sementara itu, Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Wilayah Persekutuan, Amir Atar berkata, sudah sampai masanya kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap pembangunan tanah warisan dengan menubuhkan jawatankuasa tersebut.

"Saya menyokong penuh terhadap cadangan ini, kerana kebanyakan tanah warisan Melayu terutama di kawasan bandar makin pupus dan yang mendapat manfaat daripada pembangunan di tanah tersebut bukannya kaum Melayu.

"Diharap melalui penubuhan jawatankuasa tersebut dapat membantu mempertingkatkan pendapatan golongan Melayu dan turut menjamin akan hak warisan orang Melayu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment