My Add

Thursday 4 July 2013

Malaysia bakal capai negara maju seawal 2018 - Najib

LONDON, KHAMIS, 04 Julai, 2013: Malaysia bakal menjadi negara maju berpendapatan tinggi pada 2018, dua tahun lebih awal daripada tahun 2020 yang disasarkan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata Malaysia berada di landasan betul untuk merealisasikan sasaran ini memandangkan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi mula menghasilkan kejayaan yang ketara.

"Peningkatan ranking di seluruh dunia menunjukkan Malaysia semakin memperbaiki kedudukannya. Bank Dunia meletakkan ranking kita di tempat ke-12 dalam laporan Doing Business Report 2013 dan tinjauan baru-baru ini menunjukkan Malaysia berada di landasan betul untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi seawal 2018," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri yang disertai rakyat Malaysia di London, di Intercontinental Hotel di sini Rabu malam.

Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Seri Zakaria Sulong dan Duta Tourism Malaysia Datuk Jimmy Choo.

Najib berkata sasaran itu mustahil dicapai tanpa kerja keras semua rakyat Malaysia, baik di tanah air mahupun di luar negara.

"Diaspora (perantau) Malaysia adalah aset kita yang turut sama menyumbang kepada kemajuan negara," katanya.

Najib turut menggesa semua rakyat Malaysia, terutamanya yang tinggal di luar negara supaya membantu Malaysia melenyapkan laporan tidak benar tentang negara ini supaya lebih ramai orang akan berminat untuk melabur atau mengunjungi Malaysia.

"Kata-kata yang baik daripada anda mengenai Malaysia sememangnya sangat dialu-alukan. Saya pasti anda pernah mengalami, dalam beberapa keadaan, apabila sahabat dan rakan setugas anda melontar komen negatif tentang Malaysia. Menjadi tugas anda, sebagai rakyat Malaysia, untuk membersihkan semula nama Malaysia.

"Teguran ikhlas daripada anda akan memberi mereka perspektif sebenar tentang pencapaian negara.

"Tiada yang dapat mengatasi laporan yang baik melainkan 70,000 rakyat Malaysia yang tinggal di United Kingdom, memperkatakan kebaikan tentang negara mereka."

Najib berharap rakyat Malaysia di luar negara akan sentiasa memikirkan tentang apa yang mereka boleh sumbangkan ke arah pertumbuhan sosio-ekonomi negara ini dan rakyatnya.

Beliau berkata kerajaan komited dalam memastikan sebuah masa depan yang sarat dengan harapan buat setiap lapisan masyarakat Malaysia termasuk kalangan belia.

"Kami percaya asas bagi setiap negara terletak pada pendidikan belianya," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga terbuka kepada proses demokrasi ke arah sistem yang lebih liberal, bagi belia mencapai kecemerlangan dan memastikan suara mereka didengari.

"Kerajaan akan terus berbincang dengan belia dan melibatkan mereka sebagai sebahagian daripada proses pembinaan negara. Perkara ini sangat penting kepada belia hari ini yang akhirnya akan mengambil alih kepimpinan negara di masa depan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment