My Add

Sunday 21 July 2013

Mangsa kes tembak kejam dikenal pasti

PARIT BUNTAR, SABTU, 20 Julai, 2013: Polis telah mengenal pasti identiti lelaki yang mati akibat ditembak kejam sebanyak lapan das di badan dan kepala di dalam sebuah kereta di Jalan Gula menghala Semanggol awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mat Fauzi Nayan berkata, mangsa ialah M. Gunabenthan, 25, yang bekerja sebagai pemandu jengkaut di Teluk Intan dan berasal dari Taman Bersatu, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Menurutnya, identiti mangsa dikenal pasti selepas kad pengenalan dan lesen memandu miliknya ditemui semasa bedah siasat dijalankan di Hospital Parit Buntar, semalam.

"Kematian mangsa telah dimaklumkan kepada keluarganya petang semalam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, bapa mangsa, K. Muniandy, 50, ketika ditemui berkata, seluruh keluarganya terkejut selepas mendapat tahu kejadian yang menimpa anaknya tersebut.

Katanya, sepanjang pengetahuannya, mangsa tidak terlibat dengan sebarang jenayah dan baru bekerja sebagai pemandu jengkaut di Teluk Intan sejak dua bulan lalu.

"Malah sepanjang hidupnya, mendiang tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa atau terlibat dengan aktiviti jenayah mahu pun penyalahgunaan dadah," katanya.

Menurut Muniandy, dia mengesyaki kematian anaknya itu ada kaitan dengan kerjanya di Teluk Intan.

"Pada Rabu lalu, mendiang pergi mengikut majikannya untuk urusan perniagaan di Pelabuhan Klang, Selangor dengan menaiki dua buah kereta sebelum singgah bermalam di rumah saudara di Kajang, Selangor.

"Keesokannya, mendiang pulang ke Teluk Intan untuk bekerja tetapi saya diberitahu dia hilang setelah pergi ke suatu tempat kira-kira pukul 7.30 malam pada hari tersebut," katanya.

Beliau percaya anaknya itu telah dianiaya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan berharap polis dapat membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. - UTUSAM

No comments:

Post a Comment